Sabtu, 31 Disember 2011

Salam Tahun Baru 1433 Hijrah,2012 M

Alhamdulillah tirai 2011 bakal dilabuh beberapa jam sahaja lagi.Sedar tak sedar,mahu tak mahu,masa terus berjalan.Dalam keghairahan sesetengah dari kita untuk menyambut kelahiran tahun baru Masehi 2012,teman sudah pun berniat untuk tahun baru tanggal 1 Muharam 1433 Hijrah tempohari.Sebagai seorang Muslim,kita seharusnya lebih berbangga dengan fakta bahawa kita telah pun mendahului yang lain dalam menyambut tahun baru.Cuma mungkin fakta ini masih tidak relevan bagi segelintir dari kita yang masih dijajah mindanya dengan fahaman luar.Setiap insan pasti memikirkan suatu perubahan yang patut dilaksanakan untuk mengisi kehidupan agar lebih memahami tujuan kita masih disini ; proses yang sentiasa berjalan sehinggalah tiba waktu kita kembali kepadaNYA.
Menyelongkar khazanah peribadi,diari semasa diselak semula.Jujur teman katakan dari 10 perancangan tahun baru yang dibuat hanya 3 sahaja yang terlaksana ditahun-tahun yang lalu.Setiap hari letih memikirkan bagaimana hendak mencapai yang bakinya supaya impian menjadi kenyataan.Dalam lelah berfikir yang tak sudah, teman diingatkan oleh kata-kata seorang sahabat bahawa sekiranya doa tidak dimakbulkan selepas berusaha, mungkin Allah menrencanakan suatu yang lebih baik untuk diri dimasa hadapan.Lega sebentar dengan ingatan dari sahabat tetapi kemudian fikiran kembali dibolos dengan persoalan, cukupkah usaha yang telah teman perbuat untuk mencapai segala perancangan tersebut?Apakah semua itu yang teman inginkan sebenar-benarnya dalam hidup?
Dalam pencarian diantara dua jalan yang tidak pasti, teman diketemukan dengan titik pertemuan antara keduanya.Jawapan yang selama ini teman cari penjelasannya.Dengan bekalan itu teman berdoa agar dipermudahkanNYA untuk segala urusan dunia sebagai jambatan untuk akhirat.
Kita insan yang diberi hidayah tak akan sempurna tanpa taufikNYA.Kita yang ditingkatkan nilai dengan iman tak akan bermakna tanpa bertakwa.Lafaz dibibir 17 kali sehari belum terbukti penyerahan diri yang sempurna.
Moga tahun baru ini menjadi permulaan untuk menyempurnakan amanah diri kepada Maha Pencipta.Azam baru teman, semoga diberi kekuatan ketika lemah,diberi keringanan ketika berat,diberi kesihatan ketika sakit,diberi kekayaan ketika miskin, diberi ingatan ketika lupa dan semoga tidak menyatakan apa yang tidak diperbuat.