Isnin, 23 Januari 2012

Pavlova Suka Suki




Pepatah ada menyebut, perut kenyang hati pun senang.Ada masanya terbukti kebenaran pepatah ini,tapi ada masanya perut yang selesai diisi belum tentu dapat menyenangkan sekeping hati.

Bila konflik ‘kelaparan hati’ seperti ini berlaku,teman teringat kata-kata seorang rakan sepejabat yang berkias soal makanan. Kata sahabat, jasad yang fitrahnya lahir dari tanah memerlukan makanan yang asalnya dari tanah juga iaitu segala jenis makanan, hasil dari tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Jangan dilupa hakikat kejadian manusia yang terdiri daripada jasad dan roh. Asal roh yang lahir dari langit pula memerlukan makanan fitrahnya dari langit juga.Apa itu makanan dari langit? Makanan dari langit ialah wahyu.Wahyu yakni kalamullah (Al-Quran) adalah makanan sempurna bagi roh (hati) setiap manusia yang beriman. Bacalah Al-Quran bukan sekadar baca-baca,tetapi bacalah dan fahamilah maknanya agar kita mendapat rahmat dan kekenyangan hati yang bermakna.

“ Dan apabila dibacakan Al-Quran, dengarlah baik-baik dan perhatikan dengan tenang agar kamu mendapat rahmat” (Surah Al-A’raaf 7:204)

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“ Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging.Jika baik daging itu baik,maka baiklah seluruh anggota badannya,tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka rosaklah seluruh anggota badannya..dan seketul daging itu adalah hati “(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Setiap kali keluar bersiar-siar atau membeli belah bersama-sama keluarga atau rakan baik, teman tidak terkecuali dari ingin mencuba pelbagai juadah baru yang belum pernah dirasai.Walaubagaimanapun,isu makanan dan minuman halal atau tidak halal kini menjadi sesuatu yang menggusarkan.Umat Islam kini perlu lebih berhati-hati kerana kalau dulu mudah sahaja kita menolak apa-apa juadah yang dijual di premis yang kita sendiri yakin ketidakhalalannya.Namun kini,isu logo halal yang menjadi tanda utama pengesahan halal telah diambil mudah oleh segelintir perniaga yang ingin mengaut keuntungan.Dalam hal ini,kita sendiri perlu melaksanakan hak jasad dan hati untuk mendapatkan makanan yang baik-baik (halalan toyyiban).Bak kata rakan serumah,kalau ada was-was dalam hati adalah lebih baik dimasak sendiri.

Semalam, teman teringin sangat menikmati manisan yang agak popular sejak musim siri “MasterChef’ melanda.Sejenis meringue yang diberi nama ‘Pavlova’.Adik teman yang pernah belajar di Australia memberitahu teman yang Pavlova ini manisan kegemaran orang Australia.Patutlah ada pendebatan mengenai asal usul manisan ini samada berasal dari Australia atau New Zealand.Tetapi kalau dinilai daripada sejarah kewujudannya, manisan ini diberi nama Pavlova bersempena nama seorang ballerina Rusia terkenal suatu masa dahulu; Anna Pavlova ketika siri lawatannya ke Australia dan New Zealand.Almaklumlah negara kejiranan,asal kewujudan pasti menjadi persoalan tetapi itu tidak menjadi sempadan untuk kita sama-sama merasai kenikmatan hasil kreatif penciptaan.

Kalau dilihat dari resepi asal manisan ini rata-ratanya menggunakan wain putih atau cuka sebagai bahan penting.Apakah mungkin Pavlova yang dijual di restoran-restoran popular menggunakan wain putih?Dek kerana perasaan yang was-was ini maka teman membuat keputusan mulai hari ini, kalau sekadar ingin menikmati meringue adalah lebih baik teman membuatnya sendiri.Cerita sebelum ini,teman ada berkongsi resepi “Lemon Meringue Pie’.Oleh itu untuk resepi Pavlova kali ini, teman telah menggantikan cuka/wain dengan jus lemon.Kalau ada stok didapur kalian, cuka masakan biasa juga boleh digunakan Cuma rasanya mungkin sedikit berbeza.

Bahan-bahan :

4 biji telur putih

1 cawan gula castor (gula biasa yang dikisar halus boleh dibuat sendiri)

½ camca teh esen vanilla

1 camca teh jus lemon

½ camca besar tepung jagung.

Hiasan :

Buah-buahan segar seperti mangga,nenas,beri,kiwi etc

Krim Putar/Yogurt

Hirisan coklat

Cara-cara :

Untuk mendapat telur yang tidak hanyir,tapis putih telur perlahan-lahan hingga terpisah lapisan pekat dan yang paling cair,Buang lapisan pekat putih telur kerana lapisan inilah yang mendatang bau dan rasa hanyir.Pastikan semua alatan yang digunakan benar-benar kering dan tiada bendasing.Pukul baki putih telur yang ditapis dengan kelajuan yang paling minimum dan ditingkatkan kelajuan sedikit demi sedikit apabila mula kembang.Setelah sedikit kembang masukkan gula sedikit demi sedikit hingga habis dan membentuk adunan putih.Pukul adunan sambil memasukkan esen vanilla.Setelah benar-benar kembang, kaupgaulkan dengan jus lemon dan tepung jagung.Untuk memeriksa bahawa adunan benar-benar kembang,ujian membalikkan adunan dan adunan tidak jatuh,maka meringue telah sempurna. Letakkan adunan meringue diatas kertas pembakar.Bakar hingga lapisan luar keras.Meringue yang sempurna,rangup diluar dan lembut didalam.Boleh dihidangkan dengan buah-buahan,krim putar atau yogurt untuk mengimbangkan rasa manis meringue tadi.

Alhamdulillah,perut kenyang, hati pun senang :)