Selasa, 6 Mac 2012

Pantai Rhu Sepuluh Terengganu Darul Iman




Pantai Rhu Sepuluh untuk pertama kalinya teman berada di sini atas urusan menghantar adik bongsu teman. Dia yang perlu tinggal selama tujuh bulan di sini bagi tujuan kajian program Ijazah Sarjana yang diambil. Memandangkan topik kajiannya bertumpu kepada haiwan terancam iaitu penyu, maka atas sebab ini juga telah membawa teman sekeluarga sekali lagi ke tanah Darul Iman ini.
Terletak di daerah Setiu Terengganu, berdekatan dengan Pantai Penarik, Pantai Rhu Sepuluh merupakan sebahagian kawasan perkampungan nelayan yang indah. Jaluran pantai yang lurus seakan-akan tiada penghujungnya membuatkan tidak jemu mata memandang. Sepanjang perjalanan, teman kagum dengan permandangan kawasan pantai yang dihiasi pohon kelapa dan pohon rhu yang banyak, lantas segera teman meminta adik lelaki teman untuk berhenti seketika ditepi pantai. Air pasang dan ombak besar menutup niat teman untuk membasahkan kaki dipersisiran pantai walaupun terdapat beberapa orang anak kampung yang tegar bermandi-manda di dalam arus yang agak deras itu. Mungkin sudah menjadi kebiasaan dan kepakaran mereka bermain-main di laut. Suasana sangat nyaman dan tenang. Sesekali terlihat anak-anak kampung yang lain mengayuh basikal 'pixie' mereka di sepanjang jalan di daratan.
Selepas mengemas barang dan rumah tempat menginap, kami sempat singgah di sebuah kedai di tepi jalan untuk minum petang.Gerai tepi jalan yang ringkas tapi memadai untuk tujuan kami hari ini.Pastinya juadah wajib yang dicari ialah keropok lekor dan air kelapa. Asyik menikmati juadah sambil menghirup udara segar disulami keindahan lautan yang terbentang luas didepan mata, teman terlupa untuk merakamkan memori bergambar minum petang itu. Selain daripada kerepok lekor, juadah minum petang popular disini ialah ikan goreng, udang goreng, ketam goreng dan sotong goreng yang dicelup tepung yang sungguh rangup.Harga makanan lautnya berpatutan dan enak sekali rasanya.
Keindahan alam semulajadi dan corak kehidupan yang teman lihat sangat ringkas berbanding kehidupan kota yang agak kompleks, membuat teman berfikir dan memuhasabah diri sendiri. Mungkin kalau teman berada di dalam situasi kehidupan di sini, pasti kemeriahan dan kemewahan kehidupan kota sudah tidak begitu penting lagi. Apa perlu pembangunan melata, ketika kehidupan yang dianugerahi Tuhan disini sudah cukup sempurna. Bak kata mak teman, segala-galanya ada. Jika berkehendakkan ikan, sotong, udang dan ketam ada sumbernya dari laut.Jika berkehendakkan hasil tanaman seperti kelapa dan buah-buahan ada didarat. Malah sesekali terlihat sekumpulan lembu, kambing dan ayam melintasi jalannya. Buminya kaya dengan sumber mineral dan semulajadi. Pada masa yang sama, perjalanan ke Pantai Rhu Sepuluh ini juga membuatkan teman lebih menghargai kehidupan yang telah dianugerahkanNya kepada teman selama ini.

Jumaat, 2 Mac 2012

Biru Mata Hitam Ku

Assalamualaikum.Alhamdulillah,berkesempatan lagi teman mengisi laman blog yang tidak seberapa ini.Sempena menghargai peluang dan pengalaman yang teman perolehi dari Program ESQ Eksekutif dan ESQ MCB (Mission Character Building) tempohari, ingin sekali teman berkongsi pengalaman sepanjang menjalani program berkenaan.Tujuan asal teman diminta untuk menghadiri program berkenaan hanyalah sebagai keperluan latihan luar dan sebagai menimba ilmu untuk tujuan kerja teman sekarang.Almaklumlah cabaran bekerja sebagai pentadbir dalam industri perkhidmatan,keperluan latihan bagi peningkatan kemahiran motivasi dan perorangan sangat penting. Teman sendiri sebagai manusia biasa juga perlu mencaj semula semangat dan memotivasikan diri sendiri dalam masa yang sama.
Pasa peringkat awal, persepsi teman bahawa program-program ESQ dari pengasasnya Dr Ari Ginanjar ini tidak ada banyak bezanya dari kaedah motivasi sumber manusia yang lain.Walaubagaimanapun, persepsi teman tadi telah 'dipancung' awal-awal lagi sejak dari program pertama yang teman hadiri.
Selama ini pelbagai teori pengurusan, sumber manusia, motivasi diri dan kemahiran perorangan dari pemikir-pemikir barat dan budaya Jepun yang teman dengar dan baca sejak memasuki alam pekerjaan.Malah sepanjang pengajian, teman telah terbiasa mendapat maklumat dari majalah-majalah seperti 'Readers Digest','Time' dan seangkatan dengannya kerana teman rasa yang dari luar itu lebih moden,terkini,logik,realistik dan apa saja yang baik.Hari ini teman sedar bahawa ada yang lebih relevan buat teman dari dulu,kini dan selamanya.Pada pendapat peribadi teman, program ESQ mengupas kaedah motivasi dan pengurusan dalam konteks Al-Quran dan Sunnah.Contohnya bagaimana Teori 'Iceberg','Law of Attraction' dan Kaizen, yang selama ini teman dapat dari bacaan dan pengalaman berorientasikan negara Barat dan Jepun berkaitan dengan Konsep Fitrah, Rukun Iman dan Rukun Islam itu sendiri. Hakikat 1433 tahun tersembunyi di sebalik ilmuan Barat dan Jepun yang telah membuka mata hati teman. Persembahan sepanjang program yang teman anggap sangat kreatif,informatif,berteknologi,santai,menarik,tidak memberatkan,tidak juga meringankan dan tepat.
Bukan mempromosi atau memuji tanpa asas, tetapi itulah hakikat yang teman ingin kongsikan tentang program ESQ yang teman hadiri.Ya,teman akui banyak motivator-motivator dari Malaysia sendiri berkongsi dasar ilmu yang sama yang belum lagi sempat teman hadiri dan alami.Terima kasih kepada bos-bos teman,En Md Shukor dan isteri, Pn Nor Aziah atas peluang mengikuti program ini.Kami yang menyertai akan cuba berkongsi dengan warga kerja yang lain untuk kebaikan kita bersama.
Memetik kata-kata Pak Iman Herdimansyah;penyampai kanan Dr Ari semasa pertemuan pertama jemputan makan tengahari bersama, katanya;"Al-Quran itu pasti akan datang dalam bahasa setiap kaum,dan menjadi pertemuan antara perkara-perkara yang dipisahkan".Cukuplah buat masa ini pemahaman yang teman perolehi sebagai penambahbaikan bagi diri teman sendiri.Teman sentiasa berdoa semoga keluarga dan rakan-rakan seperjuangan,sekerja,serumah,sekampung dan semuanya mempunyai kesempatan mendapat ilmu yang baik untuk diri seterusnya sama-sama beramal untuk penghujung yang baik.

Firman Allah yang bermaksud; " Dan perumpamaan-perumpamaan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya" (Surah Al Zumar 39:27)

Secebis kata dari teman ;

Indah pelangi tujuh berwarna,
Sinar mentari bulan bercahaya,
Terikat kebumi berpasak tiga,
Bersulam emas kain sutera.
Enam hari enam malam,
Bagi teguh rumah serumpun delima sebatang,
Tempat bersantap belimbing lima bercicah garam,
Sila bersimpuh bertenang-tenang.(R)