Sabtu, 11 Ogos 2012

Kembara Laila

Ya Rahman,
acapkali  namaMu dilaungkan,
pada malam terakhir antara seribu bulan,
mencari yang terbaik mengisi kekosongan,
semoga amalku tidak Engkau tiupkan,
menjadi debu yang berterbangan.
Ya Rahman,
semoga tiada nikmatMu yang aku dustakan,
restuilah aku dalam perjalanan,
Laila dan Majnun pembuka pandangan,
sebuah pertemuan sebagai  harapan,
dan hanya padaMu Yang Menzahirkan.

Khamis, 9 Ogos 2012

Kunci 21

Salam 21 Ramadhan 1433H bersamaan 10 Ogos 2012M.
Pagi semalam teman dimaklumkan oleh rakan sepejabat tentang program Qiyamullail yang bakal diadakan di surau berdekatan pejabat kami.Insyallah kami telah dijemput oleh pihak pengurusan surau untuk turut serta pada malam 23 Ramadhan akan datang. Dalam mengejar Lailatulqadar, masih lagi berkira-kira tentang perancangan program pada hari berkenaan yang telah pun teman jangkakan lebih awal. Memang agak padat. Niat di hati, pagi Sabtu itu nanti teman ingin menemani seorang sahabat baik membeli barang-barang keperluan untuk hari raya nanti. Sebelah petang pula teman merancang untuk bertemu dengan beberapa sahabat yang lain untuk iftar bersama-sama sekaligus menunaikan solat terawikh di masjid negeri. Hari yang sama juga bapa saudara teman merancang untuk majlis iftar bersama keluarga.Nampak gayanya ada juga perancangan yang terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana mustahil teman dapat berada di dua tempat pada satu masa. Teman berharap sangat apa-apa keputusan pembatalan untuk turut serta dalam salah satu program tidak melukakan hati mana-mana pihak.
Hari-hari terluang tahun ini ibarat bonus bagi teman.Masa itulah teman gunakan untuk bersama-sama rakan serumah, menyelesaikan tugasan rumah atau pulang ke kampung. Walaupun bekerja di pejabat yang sama, berlainan unit membuatkan masa untuk kami berjumpa agak terhad. 
15 Ramadan 1433H yang lalu, dalam kesibukan kerja, perjalanan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat, telah membuka peluang untuk iftar di sebuah restoran ala timur tengah yang telah lama teman diidamkan.Kerap kali juga singgah di kawasan berdekatan tetapi tidak berkesempatan untuk menikmati juadah di sana. Restoran Tarbush di ibu kota Kuala Lumpur adalah tempat persinggahan teman kali ini.Tiada resepi yang dapat dikongsikan hari ini, cuma beberapa juadah cadangan yang agak berpatutan harganya.Mungkin selepas ini teman boleh mencari resepi timur tengah pula untuk juadah keluarga akan datang.

Serba sedikit tentang juadah iftar teman hari itu. Falafel sebagai pembuka selera diperbuat daripada kacang kuda dan rempah ratus digoreng rangup disertakan dengan sos masam.Untuk juadah utama teman telah memilih Briyani Daging Kambing, suatu pilihan yang agak berani kerana teman kurang mengambil makanan berdaging kecuali ayam.Sesekali menukar selera tidak menghampakan.Manakala sahabat teman pula memilih Briyani Ayam yang agak besar kuantitinya. Rasanya satu hidangan yang sama boleh dimakan oleh dua orang layaknya.Teh pudina panas dan Lassi Mangga sejuk menjadi pilihan kami untuk menyegarkan tekak yang haus.Akhir sekali menutup iftar dengan Mahalabia, sebagai pencuci mulut pilihan teman hari itu.Puding susu manis yang enak dimakan bersama potongan kacang pistachio yang ditabur diatasnya. Selesai sudah iftar kami untuk sekian kalinya.  
17 Ramadan 1433H. Pulang dari bertemu sahabat setelah usai iftar, melihat jam yang sudah hampir 11.00 malam.Rakan serumah lain mungkin sudah lena dibuai mimpi.Teman sempat berehat sebentar di ruang tengah rumah sambil menonton sebuah telemovie yang sudah hampir ke penghujung cerita. Mungkin bersempena sambutan  Nuzul Al Quran hari itu, banyak rancangan mengisarkan topik keagamaan. Sempat menangkap bait-bait dialog telemovie itu membuatkan teman termenung sebentar memikirkan perjalanan hidup teman ini.Kisah berkisarkan watak seorang penjaga yang sangat optimist menjaga seorang kurang upaya yang hampir berputus asa.Sebelum berundur diri penjaga itu sempat berpesan kepada si kurang upaya dalam dialog yang lebih kurang berbunyi begini ;
"Nabi Muhammad Sallallahu' Alaihi' Wassalam dalam Tafsir Ibnu Arabi ada bersabda,'Sesungguhnya pada tiap-tiap kitab yang diturunkan oleh Allah itu ada di dalam kandungan Al-Quran, dan setiap yang ada di dalam Al-Quran itu ada pada Al-Fatihah, manakala apa yang ada di dalam Al-Fatihah itu ada pada Bismillahirrahmanirrahim.' Ingat Syukri,jangan jadi insan yang kufur nikmat. Pegang kalimah Bismillahirrahmanirrahim itu kuat-kuat, jangan lepaskannya....."
Untuk seketika teman seperti berada di dalam dimensi Syukri, yang hanya sempat megucapkan kalimah 'Subhanallah' apabila penjaganya terus hilang dari pandangan.
Dengan izinNYA, semoga kekuatan yang berbaki ini dapat teman gunakan sepenuhnya untuk memegang kalimah Bismillahirrahmanirrahim itu dengan tulus.Alhamdulillah.