Isnin, 30 April 2012

Salam Mahabbah Seseri Pelangi

Salam Mahabbah.Kenapa Mahabbah?Mahabbah ialah Cinta.Bukan drama di televisyen sahaja banyak menggunakan tema cinta tapi itulah hakikatnya kehidupan ini.Semuanya bermula dengan cinta. Adanya kita di dunia ini kerana cintaNya Allah kepada kita, memberi peluang untuk kita lahir menikmati kecintaan ibu bapa, adik beradik,s audara mara, sahabat-sahabat dan masyarakat umumnya. Setiap yang hidup tak akan sempurna tanpa cinta.Kerana cinta jualah soal hati dan perasaan adakalanya mengatasi pemikiran kita.Teman berbicara tentang cinta sebagai mukadimah kerana demi cinta manusia sanggup melakukan apa sahaja. Ketika bercinta, soal keburukan dan kekurangan ditolak ketepi.Terlihat segalanya indah-indah belaka. Mungkin belum lagi mencapai tahap seperti kata-kata pujangga ;kerana cinta sahabat menyerahkan jiwa.
Berbicara soal cinta yang sungguh luas, pasti ianya bermula dengan minat.Sebagai contoh,minat teman memasak belum mencapai tahap cinta memasak yang mana kalau telah jatuh cinta memasak,pasti hari-hari mengadap dapur.Sesekali diberi kelapangan olehNya dan bercinta untuk makan, maka pelbagai resepi ingin dicuba.Mungkin suatu hari bila minat bertukar cinta, lapang atau tidak, pasti dapur itu akan teman hadap setiap hari.Perkongsian minat teman hari ini ialah Seri Muka Pelangi yang teman buat khusus untuk emak teman yang sukakan pulut juga buat emak saudara teman yang dahulu sangat cinta memasak.Kalau dahulu,ketika masih sihat,emak saudara teman ini pasti akan menyediakan apa-apa juadah setiap kali teman datang melawatnya.Walaupun emak saudara teman kini tidak lagi dapat menikmati warna-warni pelangi juadah Seri Muka yang teman bawa itu dan meneruskan cintanya dalam memasak, teman doakan pelangi Syurga buatnya di keabadian nanti.
Disamping Seri Muka Pelangi sebagai juadah minum petang, tengahari itu teman terlalu kepingin Kerabu Suhun dan Sotong.Ditambah Lala Goreng Pedas Ala BBL, air tangan emak teman pada Gulai Tempoyak Ikan Keli membuat makan tengahari sungguh menyelerakan.Tidak sah menjadi orang Perak kalau tidak suka menikmati gulai tempoyak :)

1)Seri Muka Pelangi

Bahan-bahan (Lapisan bawah):
3 cawan beras pulut (direndam semalaman atau sekurang-kurangnya 3 jam)
2 cawan santan pekat
1/2 sudu teh garam.

Cara-caranya :
Beras pulut yang telah direndam,ditos dan dikukus dengan pengukus.Untuk pulut menjadi lebih harum,lapikkan loyang pengukus dengan helaian daun pandan.Setelah pulut cukup ditanak dan lembut, gaulkan dengan santan pekat yang dicampur sedikit garam.Ratakan pulut sebagai lapisan dasar kuih.(boleh ditambah pewarna bagi yang suka)

Bahan-bahan (Lapisan atas):
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung jagung
1/2 cawan gula
1 biji telur
1 sudu teh esen vanila
1/2 sudu teh garam
4 helai daun pandan (dikisar dan ditapis jusnya)
Pewarna merah,kuning dan hijau (mengikut pilihan)

Cara-caranya :
Kesemua bahan dikisar dalam pengisar/blender (kecuali jus pandan dan pewarna).Tapis adunan untuk mengasingkan ketulan-ketulan tepung dan memastikan adunan yang paling halus diperolehi.Bahagikan adunan asas ini kepada 3 bahagian.Setiap satu bahagian diletakkan beberapa titik pewarna berbeza.Ambil sedikit adunan warna merah (cukup untuk menutupi lapisan dasar) dan tuangkan keatas lapisan pulut tadi.Kukus hingga masak dan dilapisan warna kuning-kukus hingga masak-dilapis warna hijau-kukus hingga masak.Ulangi lapisan-lapisan hingga habis adunan.

2)Lala Goreng Pedas Ala BBL

Bahan-bahan :
Lala (dibersihkan hingga hilang bau)
Cili kering yang dikisar
Bawang putih dan bawang merah yang dikisar
Halia dikisar
Kicap tiram
Daun Kunyit (dicarik-carik)
Garam secukup rasa

Cara-caranya :
Tumis bahan-bahan kisar hingga naik bau.Pastikan cili kering pecah minyak sebelum dimasukkan lala dan sos tiram dan garam secukup rasa.Akhir sekali masukkan carikan daun kunyit dan gaul rata.

3) Gulai Tempoyak Ikan Keli

Bahan-Bahan:
3 ekor ikan keli dipotong dua (dibersihkan terlebih dahulu dengan asam limau)
2 batang serai (dititik sedikit)
Cili padi (ikut kepedasan yang diingini)
4 biji Cili merah
4 ulas bawang merah (ditumbuk)
4 sudu besar tempoyak (isi durian yang diperam dan ditapis)
Garam secukup rasa
3 keping asam kering
3 cawan air

Cara-Cara:
Masuk kesemua bahan-bahan dan masak diatas api yang sederhana hingga menggelegak.Jangan masak terlalu lama untuk mengelakkan ikan keli dari hancur.Tambah air sekiranya kuah terlalu pekat.

4) Kerabu Suhun Sotong



Bahan-bahan :
Satu paket suhun (direbus hingga lembut dan ditoskan)
5 ekor sotong (dibuang kulit hitamnya dan dipotong kecil)
2 biji tomato (dipotong kecil)
1 biji bawang besar (dihiris bulat nipis)
Daun ketumbar (dihiris halus)
Kacang (ditumbuk kasar)
Segenggam udang kering (ditumbuk halus)
4 sudu teh sos ikan
1 sudu teh gula
6 biji cili padi dihiris halus
2 biji limau kasturi (diperah jusnya)

Cara-caranya :
Sotong dimasak sebentar untuk mengecutkannya sedikit.Lebih baik dimasak begitu sahaja dari direbus untuk mengelakkan sotong dari liat dan hilang manisnya.Buang air sotong yang berlebihan.Campur semua bahan dan digaulkan sekali.Tambah sos ikan untuk menambah rasa.

Sabtu, 14 April 2012

Juadah Semasa Resepi Biasa



Assalam.Sudah lama teman tak berkongsi resepi biasa-biasa juadah semasa yang teman nikmati bersama-sama rakan dan keluarga bila datang 'mood' memasak. Resepi mudah dan ringkas ala Bintang Bunga Lawang untuk tatapan semua.

a) Home-Made Black Pepper Grilled Chicken (Ayam Panggang Lada Hitam)

Bahan-bahan (Ayam):

Ayam (dipotong suku)
Lada Hitam-4 sudu besar (dikisar halus)
Herba Rosemary-2 sudu besar
Bawang putih-5 ulas (dikisar halus)
Bawang merah-5 ulas (dikisar halus)
Sos Tiram-3 sudu besar
Garam secukup rasa

Bahan-bahan (Sos) :

Mentega-2 sudu
Bawang putih-2 ulas (dikisar halus)
Lada hitam-4 sudu besar (dikisar halus)
Kicap pekat manis -5 sudu besar
Susu segar (1/2 cawan)
Garam secukup rasa
Tepung Jagung-1/2 sudu teh

Cara-Cara :

Ayam yang telah dipotong suku dan dibersihkan.Lumurkan sebati dengan semua bahan dan diperap sekurang-kurangnya 15 minit.Bakar dengan api yang sederhana hingga garing. Bagi sos pula tumis bawang putih dan lada hitam hingga naik bau.Tambahan kicap pekat manis,susu segar dan garam secukup rasa.Jika ingin lebih pekat boleh ditambah bancuhan tepung jagung.

b) Bawal Sweet & Sour Plum

Bahan-bahan :

Ikan bawal (diperap garam dan kunyit)
Bawang putih-5 ulas (dikisar halus)
Bawang merah-5 ulas (dikisar halus)
Halia-3 inci (dikisar halus)
Cili kering-6 keping (dikisar halus)
Sos Tiram-2 sudu besar
Puri mangga -5 sudu besar
Gula dan garam secukup rasa


Hiasan :
Mangga yang dipotong kiub dan daun bawang.

Cara-Cara :

Goreng ikan bawal hingga garing dan letakkan ke tepi. Kemudian tumis bawang putih,bawang merah dan halia hingga garing.Masukkan cili yang dikisar dan tumis hingga pecah minyak.Masukkan sos tiram dan puri mangga.Tambah sedikit air jika ingin berkuah.Masukkan garam dan gula secukup rasa dan kiub mangga digaul sekali sebelum api ditutup.Hias dengan daun bawang.

Selamat mencuba resepi ringkas teman ini.