Isnin, 30 Ogos 2010

Udang Goreng Cornflakes BBL

Salam Ramadhan dan salam Merdeka!
Tanggal 31, bulan 8, 2010, genaplah 53 tahun Malaysia yang teman cintai menyambut Hari Kemerdekaan. Semoga dengan motto '1 Malaysia' kita semua lebih berbahagia apatah lagi hari bersejarah ini jatuh pada bulan yang mulia bagi umat Islam. Semoga Malaysia terus aman dan makmur.
Sepanjang Ramadhan kali ini, memang menu masakan berbuka amatlah ringkas almaklumlah mak teman memilih untuk membeli serba sedikit dari bazar Ramadhan dari memasak sendiri. Teman pun agak ketepuan nak mencuba bermacam-macam resepi yang berlegar-legar difikiran, tapi berakhir dengan menu yang sangat mudah dan cepat, apatah lagi nak mengikut selera yang berbeza-beza. Paling mudah seperti ikan masak lemak kuning, sup ayam, gulai asam dan udang goreng. Jadinya hari ini teman yang agak gian nak mengemaskini blog teman ini, ingin berkongsi resepi Udang Goreng Cornflakes yang sangat mudah dah cepat. Udang goreng ini sedap dimakan panas-panas apatah lagi dicicah dengan sos cili Peri-peri (keluaran Nandos) yang pedas. Silalah cuba!

Udang goreng Cornflakes BBL

Bahan-bahan dan Cara-caranya

Udang (mengikut keperluan dan dibersihkan)

Serbuk kunyit

1/2 cawan Tepung Gandum
Lada hitam (ditumbuk halus)

Garam (secukup rasa)
Air panas (setengah cawan)

Emping Jagung/Cornflakes (dikisar halus)

Minyak untuk menggoreng


(Udang yang telah dibersihkan, digaul sebati bersama serbuk kunyit. Adunan tepung ditambah garam, lada hitam yang telah ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk merangupkan bancuhan tepung. Celup udang kedalam tepung dan salutkan dengan serbuk emping jagung.Goreng didalam minyak yang telah dipanaskan sehingga garing)


! Sekiranya berminat anda juga boleh mencelup udang kedalam putih telur atau mencampurkan sedikit tepung jagung kedalam bancuhan tepung untuk meranggupkan udang.

Isnin, 16 Ogos 2010

Salad Tauhu Segera


Salam.. sekali lagi teman rasa agak bersemangat nak berkongsi cerita di bulan Ramadhan yang mulia ini. Alhamdulillah dapat juga menolong mak teman di dapur pada hujung minggu lalu. Memang dah lama jugalah teman teringinkan menu berprotien tinggi untuk kurangkan pengambilan nasi. Tempohari memang banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibeli adik teman dengan niat untuk memasak. Tetapi dek masa cuti yang singkat tak dapat adik teman nak melaksanakannya. Jadi mak teman mengambil keputusan menggunakan apa yang ada dalam peti ais tu untuk menu sampingan berbuka puasa.
Salad tauhu yang mak teman reka ini adalah alternatif kepada Tauhu Sumbat dan Jelatah yang biasa kami beli di bazar Ramadhan. Resepinya sangat mudah dan pastinya memang sedap dimakan. Jadi bagi kawan-kawan yang berdiet, bolehlah lebihkan tauhu dalam hidangan untuk kurangkan nasi.

Salad Tauhu Segera (untuk 4 orang)
Bahan-bahan dan cara-caranya

2 keping tauhu (digoreng dan dipotong nipis)
1 potong nenas
1 biji bawang besar
1 biji timun jepun
1 biji cili merah
4 biji tomato mini (@ 1 biji tomato besar)
Udang kering ( ditumbuk halus)
Sedikit garam dan gula.

(Nenas, bawang, cili, timun dan tomato dihiris dan semua bahan digaulkan sekali.Akhir sekali tabur dan gaul garam dan gula secukup rasa)

Rabu, 11 Ogos 2010

Apa-apa ajer..

Salam..alahai dah lama teman tak mengadap blog akibat 'perintah berkurung' oleh mak teman yang tercinta kerana keadaan kesihatan teman.Tapi dalam tak sihat, teman ade jugalah menjenguk dapur dan bereksperimen dengan bahan-bahan dalam peti ais di rumah mak teman ni.Hatta nak dijadikan cerita yang tak berapa nak menjadi ni, gambar yang teman ambil tempohari tak dapat nak dimuat turun sebab masalah memory card.Nampak gaya teman terpaksa bersabar sehingga memory card kamera yang baru dapat teman beli. Sepanjang bercuti rehat ni, adinda teman yang paling rajin ke dapur.Paling best dapat merasa Spaghetti Seafood yang sangat 'Hot' bukan saja sbb rasa cili dan lada hitamnya tapi rasanya jugak lain dari yang biasa teman makan, siap lengkap dengan isi kepah, udang, dan salad daun basil segar.Tak lupa Kek Pisang Coklat yang dijadikan menu penambah kalori dan minuman segar Pina CoCurrent;jus nenas yang dicampur yogurt blackcurrant rekaan teman.Macamana rupa dan resepinya?Kenalah tungguuuuu.....