Selamat Hari Guru!
16 Mei 2012 merupakan tarikh sambutan Hari Guru di Malaysia.Bagi tahun 2012, Hari Guru Kebangsaan bertemakan 'Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara'.Berbekalkan semangat anak seorang guru,teman ingin berkongsi rasa berkaitan Hari Guru ini.
Seawal pagi,teman telah menghantar satu pesanan ringkas (SMS) kepada emak teman yang mungkin sedang sibuk memerhatikan pelajar-pelajarnya beratur di tempat perhimpunan.Ya, emak teman seorang guru dan arwah abah teman pun pernah menjadi seorang pendidik sebelum membina kerjaya sebagai ahli perniagaan.Tentang SMS yang teman hantar,ringkas sahaja isinya,"Assalam mak.Happy teacher's day! You are not only a teacher by syllabus but also my life's Guru of all time :)".SMS dihantar dengan harapan emak teman merasa gembira pagi ini kerana tahun 2012 bakal menjadi tahun terakhir baginya berkerjaya sebagai seorang guru di sekolah.Teman tidak mengharap sebarang SMS balasan darinya kerana memahami kesibukannya di tempat kerja.Pemahaman yang telah lama teman terapkan dalam diri sejak kecil lagi.Walaubagaimanapun, hati teman sungguh tersentuh pagi ini apabila menerima SMS balasan beberapa minit kemudian dari emak yang berbunyi,"Terima kasih. Anis anak yang baik. Send the same wishes to your teachers."Bagi teman,ungkapan itu lebih bermakna dari seribu pujian lain, kerana ungkapan itu teman anggap sebagai doa dari seorang emak buat anaknya yang tidaklah sebaik mana pun.Ya,semoga teman menjadi baik secara keseleruhannya.Amin....Bukan itu sahaja,SMS balasan itu juga mengimbau kembali wajah-wajah guru yang pernah mendidik anak seorang pendidik ini. Satu persatu wajah-wajah manis,masam,pahit,masin,tawar dan kelat itu bertukar ganti dalam kotak fikiran teman.Wajah-wajah yang tampak itu pasti menyimpan seribu satu tanda sebagai pembawa cahaya dan tidak sedikit pun teman ragui keikhlasan mereka.
Mutiara kata bahawa guru umpama cahaya yang menerangi alam yang gelap gelita, guru umpama lilin yang membakar diri untuk orang lain menikmati cahayanya, guru umpama pelita di malam hari dan seumpamanya sudah cukup menjelaskan bahawa guru yang menyampaikan apa jua ilmu untuk pelajarnya adalah seorang agen perubahan yang utama dalam pembentukan nilai-nilai kemanusiaan.Melalui guru, sistem pendidikan terjana, melalui guru segala buku dapat dibacakan, melalui guru manusia celik akal dan berfikir, melalui guru yang gelap menjadi terang.Guru, pendidik, penyampai, cikgu,sifu dan apa sahaja panggilan lain seumpamanya berkongsi fungsi yang sama iaitu beramal dengan ilmu yang ada. Ilmu dari seorang guru disampaikan kepada pelajarnya bakal menjadi amalan atas amalan.
Bukan senang menjadi anak seorang guru. Setiap tindakan dan pencapaian diri sentiasa diuji dan teruji, sentiasa dibanding dan ditanding. Kejayaan anak-anak menjadi ukuran kejayaan ibu bapa mendidik lebih berat ditanggung oleh mereka yang bergelar guru. Inilah yang teman rasa sepanjang hidup teman ketika meningkat dewasa.Ada masanya melihat emak teman yang sibuk menyemak buku-buku kerja dirumah membuat teman berasa sedikit cemburu. Nampaknya seperti perhatian itu diberikan lebih kepada anak muridnya berbanding teman.Walaubagaimanapun, kerana situasi itu juga teman dan adik-adik,belajar untuk berdikari menguruskan pelajaran kami. Kami telah ditetapkan aturan untuk tidak menonton televisyen dan mendengar radio pada waktu malam. Masa malam kami ketika kanak-kanak lebih banyak di bilik masing-masing, menyiapkan kerja-kerja rumah atau mengulangkaji pelajaran.Teringat juga sikap adik lelaki teman yang sedikit nakal,malas membaca,lantaran kebosanan terus tidur seawal jam 8 malam. Ketika itu tiada pemberontakan kelakuan dan tiada jawapan balas setiap kali emak teman mengeluarkan perintah untuk menutup televisyen dan segera beredar.Hanya wujud gelodak makan hati bila ada rancangan televisyen yang dinanti-nantikan bersiaran tetapi kami tidak dapat menontonnya. Kami akur kerana kami tahu jerit perih seorang ibu bergelar guru dan kami tidak mahu menghampakannya dengan keputusan corot akibat sumpahan kerana membantah cakap seorang ibu dan guru. Inilah dugaan anak seorang guru. Dugaan yang menjadi pengalaman pahit-manis kehidupan.Guru tidak pernah jemu mendidik dan pastinya seorang yang sabar menghadapi apa jua ujian dalam menjalankan tugasnya, seperti ungkapan lirik lagu PELITA dari kumpulan A.P.I ;
'Takkan ku menyerah kalah walau mimpiku musnah,
Harapanku hancur sayapku patah,
Kan ku pancarkan cahaya seperti pelita,
Ke serata dunia yang gelap gelita,
Sehingga hembusan nafas yang terakhir..'
Semoga Allah memberkati jasa-jasa semua guru,pendidik,penyampai dan pekongsi-pekongsi ilmu kerana dengan adanya kalian, kami dapat keluar dari gelap gelita kepada cahaya.
Firman Allah S.W.T ,
“ Allah adalah cahaya
seluruh langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah tempat
pelita yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu berada dalam kaca (dan)
kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan
dengan minyak dari pohon yang penuh berkah, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh
tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang
minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran
minyak itu sangat bening berkilau). Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing
kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat
perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala
sesuatu”. (An Nur: 35)