Tanggal 19 Mei 2012 merupakan hari Sabtu yang dipilih oleh pihak pengurusan syarikat teman bekerja untuk Pertandingan Boling tahunan bersama-sama pelanggan dan rakan perniagaan kami. Alhamdulillah walaupun acara ini telah tertunda selama sebulan, akhirnya selesai dengan jaya walaupun terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
Memandangkan ini merupakan acara tahunan syarikat, teman dan kakitangan pengurusan yang lain agak sibuk disaat-saat akhir. Almaklumlah segalanya perlu dipastikan berlansung sebaik mungkin.Ada masa-masanya teman terpaksa bertegas dengan ahli jawatankuasa biro yang bertugas untuk memastikan berjalan lancar. Tahun ini, syarikat kami; MASSA hanya berjaya mengumpul 11 pasukan untuk bertanding yang terdiri daripada para pelanggan dan rakan niaga syarikat yang masih setia bersama-sama kami dalam setiap program yang dianjurkan.Walaubagaimanapun, pasukan yang bertanding tidak mencapai sasaran minimum teman iaitu 12 pasukan.Tahun ini juga, Biro Sukan yang bertanggungjawab menguruskan acara telah membuat keputusan untuk bermain di pusat boling yang baru dibuka iaitu Shalin's Bowl yang terletak di Space U8, Shah Alam; milik pemain kebangsaan Malaysia Shalin Zulkifli. Pusat boling ini lebih luas dari tempat biasa yang kami pergi di Plaza Alam Sentral, lebih menarik dengan pancuran air terjun mini berdekatan pintu masuk, tempat duduk pemain yang lebih tersusun dan selesa, cuma agak kurang dari segi sambutan, pengurusan alatan teknikal dan keadaan lorong boling yang agak licin (menurut sesetengah pemain). Penghawa dingin yang lewat dibuka membuatkan kami agak kepanasan hari ini pada awal dua jam yang pertama berada di sana. Teman cuba bertolak ansur dengan keadaan ini memandangkan pusat ini dan kakitangannya masih baru walaupun bos teman sedikit kecewa dan tidak berpuashati. Apa-apa pun tahniah kepada Shalin Zulkifli atas pembukaan Shalin's Bowl ini.
Teman tidaklah bermain boling ini secara profesional, cuma sangat berminat dengan permainan boling 10 pin ini sejak zaman belajar kerana kaedah permainannya secara individu atau berkumpulan amat menekankan teknik balingan dan fokus yang tinggi. Secara ringkasnya setiap pemain boling pasti mempunyai teknik balingan yang tersendiri, tetapi kawalan kedudukan kaki dan tangan sangat penting untuk memastikan balingan tidak tersasar ke 'longkang' dan memaksimumkan jumlah 'strike'.Bola boling juga mempunyai berat yang pelbagai mengikut kesesuaian berat badan pemain.Teman pernah diberitahu oleh seorang kenalan yang bermain boling secara serius yang mana kehandalan seorang pemain boling sangat teruji ketika membuat balingan kedua dan mencapai 'spare' berbanding 'strike'. Fokus seorang pemain adalah menjatuhkan 10 pin untuk mendapat markah penuh 10 mata (strike) bagi setiap 10 bingkai permainan. Sekiranya gagal menjatuhkan kesemua pin dalam balingan pertama, pemain perlu membuat balingan kedua untuk menjatuhkan baki pin yang tinggal. Hanya pin yang jatuh sahaja dikira sebelum meneruskan permainan ke bingkai yang seterusnya.
'Practice makes perfect'.Balingan yang terbaik hanya dapat diperolehi sekiranya pemain rajin membuat latihan, kalau tidak boleh jadi 'berkarat' siku dan 'mencuci longkang' jawabnya.Selagi ada kesempatan dan masa terluang, permainan boling adalah salah satu pilihan menarik untuk masa riadah teman dan rakan-rakan. Antara sebab lain yang membuatkan teman suka bermain boling ialah gabungan keupayaan mental dan fizikal seperti daya fokus, kemahiran individu untuk kejayaan berkumpulan dan perancangan kira-kira dalam permainan untuk memastikan kemenangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan