Ahad, 29 Julai 2012

Marhaban Ya Ramadhan 1433H



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ {185}


“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil). Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (QS. Al-Baqarah : 185).

Marhaban ya Ramadhan.Alhamdulillah teman di beri peluang sekali lagi di tahun ini 2012, bersamaan 1433 Hijriah untuk bersama-sama berada dalam bulan Ramadhan.Kata seorang sahabat teman, Ramadhan itu Ramad,Ramadhan itu panas dan Ramadhan itu Rahmat dari Allah Subhanahuwataala.
Sedar tak sedar bulan Ramadhan adalah bulan ke sembilan dalam kalendar Islam. Ibarat bayi dalam kandungan selama sembilan bulan, pastinya mengharap 'dilahirkan' dengan sempurna ketika menjelang Syawal, bulan di mana seorang Islam  kembali kepada fitrahnya, bulan 'kelahiran' atau kemenangan.
Menjenguk Sejarah Islam terdahulu, Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wassalam dan para  sahabat telah mencapai kemenangan dalam peperangan Badar ketika bulan Ramadhan. Walaupun berbekalkan tentera Islam yang lebih sedikit dari tentera musuh, bulan Ramadhan bukanlah 'bulan lesu dan lemau' bagi orang-orang Islam. Malah dalam bulan Ramadhan jugalah , Nabi junjungan kita keluar dari lingkungan kebingungan dan mencari kesempurnaan dirinya hingga membawa kepada penurunan wahyu yang pertama iaitu Al-Alaq.
Cukuplah serba sedikit ringkasan tentang bulan Ramadhan ini teman kongsikan, pasti ada yang lebih mahir dari teman tentang Sejarah dan ilmuan. Hakikat manisnya ilmu pada usia teman yang telah pun menginjak ke 32 tahun semalam, mungkin lebih manis dan bermakna berbanding ketika usia yang lebih muda dimana tahu kepada ilmu tapi masih tidak memahami.
Relevannya pernyataan teman bahawa Ramadhan bukanlah 'bulan lesu dan lemau' terbukti secara peribadi kerana pada bulan inilah teman dan rakan-rakan sekerja biasanya berjaya membuat kutipan jualan tertinggi untuk kerja-kerja pejabat kami. Mungkin ada di antaranya yang memasang niat untuk mendapat bonus raya tapi aplikasiya dalam kehidupan kami telah membuktikan perkara yang sama.Berusaha lebih untuk mendapat hasil yang lebih, insyallah. Kami tetap bekerja 8 jam sehari, malah hadir sejam lebih awal dari bulan-bulan lain untuk pulang sejam lebih awal. Waktu bekerja dan apa yang dikerjakan tidak dikurangkan malah dirancang untuk mencapai hasil yang lebih lagi. Begitu juga program sambutan Ramadhan dan perancangan Qiyamullail akan datang.Segala-galanya berkisar kepada usaha untuk mendapat ganjaran yang lebih baik di bulan Ramadhan. Dalam bulan Ramadhan juga program-program usrah digandakan demi mengharap Rahmat dan redha dariNYA.
Bagi kaum Hawa, bulan Ramadhan pasti menjadi bulan pendapatan tambahan. Ada yang mengambil tempahan kuih-muih untuk sambutan Syawal, ada yang menjual pakaian, mengambil upah menjahit  dan sebagainya. Sememangnya bulan Ramadhan bulan rezeki bagi kita. Teman tidak terkecuali dalam bersama-sama memeriahkan suasana terutama untuk tujuan berbuka bersama keluarga. Alhamduillah mendapat peluang untuk pulang ke kampung menyambut puasa bersama mak dan adik-adik teman. Seperti biasa, keseronokan mencuba resepi baru tetap diteruskan khususnya untuk hidangan juadah berbuka. Apa yang penting teman cuba mengelak dari membazir dan berlebih-lebihan dalam berbuka puasa.
Kali ini teman ingin berkongsi juadah pencuci mulut berasaskan buah-buahan yang sangat mudah diperolehi. Memandangkan ketika pulang ke kampung tempohari, mak teman ada menyimpan bekalan buah durian yang di ambil dari kampung opah teman. Hati seorang ibu, pasti mengingati anak-anaknya. Buah durian yang telah siap dikopek disimpan rapi didalam peti ais.Sempat menjamah beberapa ulas sebelum teman membuat keputusan untuk mencuba resepi Popiah Durian.Rasa intinya yang lemak manis ditambah kerangupan kulit popiah memang enak dan mendapat 'approval' mak dan adik teman. Teman juga tanpa dirancang telah mengadun pencuci mulut tambahan dari bekalan buah lai kepunyaan adik teman untuk resepi 'Pear Celur dengan Sos Karamel Oren dan Taburan Kopi'/ ( Poached Pears  with Orange Caramel Sauce and Coffee Sprinkle').Amboi, memang panjang nama resepi teman ini.Sepatutnya bahan utamanya ialah buah 'pear' tapi yang ada dalam tangan cuma buah lai, maka diteruskan jugalah percubaan itu dan ternyata hasilnya tidak mengecewakan dan tetap mendapat 'approval' semua terutama dari adik lelaki teman yang agak cerewet soal makanan. Minuman segar untuk berbuka pula teman telah memilih Ribena Laici, ais kisar kegemaran teman. Oleh itu silalah cuba untuk sedikit kelainan juadah berbuka nanti (^.^)

Penuh dengan inti durian

Popiah Durian
Bahan-bahan:
Kulit popiah (bersaiz kecil)
Isi durian (diambil dari 10 ulas)
3 sudu makan gula
1/2 cawan susu ideal
2 sudu tepung jagung
1/3 cawan air
1/2 sudu teh esen vanila
 Minyak masak untuk menggoreng.

Cara-caranya :
Beratur menunggu giliran digoreng
Kisar isi durian,gula,susu dan esen vanila dengan pengisar untuk mendapat adunan yang sebati dan tidak berketul.Masak adunan tadi diatas api yang perlahan dan masukkan bancuhan tepung jagung.Masak hingga likat dan biarkan sejuk.Letak 2 sudu kecil adunan dalam kulit popiah dan lipat dengan kemas. Gamkan lipatan kulit popiah dengan air.Goreng popiah dalam minyak yang telah dipanaskan.Angkat popiah setelah kuning keemasan dan biar sejuk sedikit sebelum dimakan untuk mengelakkan lecur akibat inti durian yang panas.

'Pear Celur dengan Sos Karamel Oren dan Taburan Kopi'

Buah lai yang sedaang dicelur
Bahan-bahan : (A)
4 biji buah pear/lai
2 cawan air
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
1 batang kulit kayu manis
2 biji bunga lawang
Sedkit parutan kulit lemon dan oren
1/2 cawan jus oren segar
1/2 cawan gula perang/gula biasa

Cadangan Hiasan
Sos Karamel Oren : (B)
Air rebusan pear
1/2 cawan Susu Ideal
2 sudu teh tepung jagung
1 sudu teh tepung kastad (pilihan)

Cara-cara:
Celur buah lai/pear dalam kesemua bahan-bahan A dalam 20 minit. Sejukkan buah didalam air rebusan selama 10 minit supaya perisa dapat meresap.(disimpan semalaman sebelum dimakan juga lebih baik).
Untuk sos caramel, air yang sama digunakan untuk rebusan digunakan semula dan dimasak atas api yang perlahan bersama-sama susu.Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung dan  kastad untuk memekatkan sos.
Hidang buah pear bersama-sama sos karamel dan ditabur sedikit serbuk kopi untuk rasa yang lebih versatil.
Hidangan ini juga boleh di makan bersama-sama popiah durian,pastri ,kek atau aiskrim.Untuk membuat popiah pear/lai, buah lai/pear dipotong dadu dan dimasak dengan sedikit gula dan serbuk kulit kayu manis.Lipat inti dengan kulit popiah sepeti biasa dan di goreng.Mudah kan untuk membuat puf segera.

Cadangan Hiasan
Ribena Laici
Bahan-bahan :
1/2 jug ketulan ais 
2 cawan air
1/2 cawan kordial ribena
1 cawan  sirap laici
Buah laici 



Cara-cara :
Kisar ais bersama air,sirap laici dan kordial ribena.Tuang ais kisar  ke dalam cawan dan hias dengan buah laici.Boleh juga ditambah nata de coco dan  buah tembikai yang dipotong dadu.Selamat mencuba.

Sedikit ucapan penutup cerita ;


Untuk setiap kata yang terpahat pasti hadir dengan maksud yang tulus demi sebuah kehidupan yang kita kongsi bersama. Salam persahabatan dari teman untuk sekian kalinya sempena ulang tahun ke 32 yang penuh bermakna.Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan