Segala puji bagi Allah yang telah memberi kesempatan kepada teman untuk berkongsi cerita hidup dan rasa untuk sekian kalinya.
Masa itu sentiasa ada ketika ada tetapi ada masanya ia terbuang begitu sahaja tanpa pengisian yang benar-benar bermakna.Ruang untuk teman menulis pun bukanlah setiap masa kerana idea itu tidak boleh dipaksa kata orang.Begitu mahal nilai buah fikiran manusia itu rupanya,bukan mudah untuk dijana walaupun hanya sekadar perkongsian yang biasa-biasa.Kalau dipaksa,hasilnya mungkin ada tetapi tidaklah sebaik seperti yang sepatut-patutnya.
Bercakap soal 'paksa',perkongsian teman ini bukan terhasil dari perbuatan yang memaksa.Perkongsian cerita hidup dan rasa yang mungkin berguna pada sesetengah orang dan tidak pada yang lainnya.Tiada paksaan untuk menerima asalkan teman bahagia :).Semoga tiada yang 'terbako' membacanya. Bersesuaian tentang topik kali ini,teman ingin berkongsi beberapa resepi mudah yang telah teman hasilkan secara cuba-cuba menggunakan satu bahan utama iaitu DAUN PANDAN.
Al-kisahnya,daun pandan ini telah tumbuh dengan subur di belakang rumah sewa teman dan rakan-rakan.Tanpa penjagaan yang khusus,hanya sekadar membiarkan ia tumbuh melata dibawah pohon-pohon pisang yang rendang dan disirami air hujan.Walaupun dibiarkan, ia tetap menghasilkan daun-daun pandan yang hijau dan segar berbanding dengan yang biasa teman lihat di pasar.Mungkin tanahnya yang subur dan sesuai dengan tumbuhbesaran pohon pandan ini. Entah kenapa hujung minggu yang lalu sebelum pulang ke kampung, tiba-tiba sahaja teman mengidam benar menikmati Ayam Goreng Pandan seperti yang pernah teman makan di sebuah restoran ala Thai yang agak terkenal di sini. Lantas teman mengambil keputusan untuk mengambil seperdu daun pandan di belakang rumah dan di bawa pulang.Setelah meneliti beberapa contoh resepi, teman pun memaklumkan kepada emak dan adik-adik teman tentang rancangan menu untuk makan tengahari keesokan harinya.Mudah dan sedap.Sajian kami sekeluarga tengahari hujung minggu yang lalu cukup dengan beberapa juadah berasaskan pandan iaitu Ayam Goreng Pandan, Puding Som-Som Pandan, Teh Limau Pandan Berserai dan juadah lanjutan rekaan peribadi teman sendiri iaitu Rendang Pandan Membako BBL bersama Pulut Kuning Haruman Pandan. Silalah cuba bagi mereka yang suka dengan aroma pandan yang wangi ini.
Cara membentuk daun pandan pembalut. |
Cara meletakkan ayam kedalam daun pandan. |
Hasil ayam pandan yang siap digoreng. |
Ayam Goreng Pandan Sri Wangi
Bahan-bahan :
1/2 ekor isi ayam (dipotong kecil-kecil)
1 sudu teh serbuk Kunyit
Garam secukup rasa
6 biji cili Burung/cili Padi (kurangkan jika tidak suka pedas)
3 batang serai dihiris halus
3 inci halia
Hasil ayam pandan dimakan bersama sambal. |
3 inci lengkuas
5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1/2 cawan santan pekat (pilihan)
1/3 cawan pati pandan
2 sudu madu
1 sudu serbuk lada sulah
Daun pandan untuk membungkus.
Minyak untuk menggoreng
Lidi penyucuk.
Cara-cara :
Perap sebentar isi ayam dengan garam dan serbuk kunyit.Kisar kesemua baki bahan-bahan atau tumbuk hingga lumat dan gaulkan pada ayam.Perap untuk 15-30 minit sebelum dibungkus dengan daun pandan.Kemaskan balutan dengan lidi penyucuk sebelum digoreng dalam minyak sederhana panas.
Tip: Minyak jangan terlalu panas dengan api yang kuat untuk mengelakkan daun pandan dari hangus dan isi ayam tidak garing.Jika tidak suka digoreng,ayam pandan boleh juga dibakar.
Gula Kabung |
Puding Som-Som Pandan
Bahan-bahan :Puding
2 cawan tepung gandum (boleh juga menggunakan tepung beras)
2 sudu tepung jagung
2 cawan santan pekat
3 cawan pati pandan
1 cawan air
Bahan-bahan :Kuah Gula
1 ketul gula kabung/gula melaka
4 sudu gula (untuk memaniskan kuah jika perlu)
4 cawan air
Cara-cara :
Bancuh tepung yang telah diayak dengan santan dan pati pandan.Tambah air sekiranya pekat,adunan itu ditapis untuk mengasingkan ketulan tepung yang tidak larut.Masak bancuhan tepung diatas api yang sederhana.Kacau bancuhan hingga pekat dan meletup-letup (tanda bancuhan telah sedia disejukkan).Adunan yang menjadi kelihatan pekat dan berkilat serta lembut bila disejukkan.Boleh dimasukkan kedalam acuan-acuan kecil atau mangkuk besar sebelum dikaup untuk dimakan bersama kuah gula.
Untuk membuat kuah gula,larutkan gula dan ketulan gula kabung didalam air diatas api.Masak hingga mendidih.Boleh dinikmati panas atau sejuk.
Jazzy Pandan Lime |
Teh Limau Pandan Berserai
Nickname : Jazzy Pandan Lime
Bahan-bahan :
6 helai daun Pandan
2 batang serai
1/3 cawan jus limau nipis/lemon/kasturi
5 sudu gula
3 cawan air untuk merebus
3 cawan air teh cair (pilihan)
Cara-cara :
Rebus daun pandan dan serai hingga mendidih air rebusan.Masukkan jus limau dan gula untuk menjadikannya sirap pandan.Tambah 3 cawan air teh cair dan direnehkan sebentar.Biarkan sejuk dan hidangkan bersama ketulan ais.
Tip:Untuk mendapat hasil minuman teh pandan berserai yang lebih segar dan beraroma,hirisan pandan dan serai boleh dijemur hingga kering untuk dijadikan stok rebusan daun tanpa perlu menambah air teh biasa.Cuma perlu dikawal jumlah air supaya tidak pahit.
Rendang Pandan Membako BBL |
Rendang Pandan Membako BBL (pilihan chef :) )
Bahan-bahan :
1 ekor ayam dipotong 24 (pilihan)
Santan pekat 4 cawan
8 biji cili padi
4 batang serai
4 inci halia
4 inci lengkuas
3 sudu serbuk kunyit
1 1/2 sudu jintan manis
1 1/2 sudu jintan putih
6 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cawan pati pandan
3 sudu besar minyak masak
Gula dan garam secukup rasa
1 biji Bawang besar dihiris bulat untuk hiasan (pilihan)
Hirisan daun pandan untuk hiasan (pilihan)
Cara-cara :
Bahan-bahan tumisan dikisar ecuali santan dan pati pandan.Panaskan minyak dan tumis bahan sehingga sedikit garing.Masukkan ayam dan gaul rata.Biarkan ayam sedikit kecut dan kering air sebelum dimasukkan santan dan pati pandan.Masak diatas api sederhana dan biarkan kering.Jangan lupa sentiasa mengacaunya agar tidak hangit dan berkerak.Setelah kering hias dengan bawang besar dan hirisan daun pandan.
Untuk pulut kuning yang dikukus seperti biasa dan dilapik dengan daun-daun pandan sebelum dikukus dengan air pandan.
Untuk pulut kuning yang dikukus seperti biasa dan dilapik dengan daun-daun pandan sebelum dikukus dengan air pandan.
Daun pandan tidak hanya terhad kepada fungsinya sebagai bunga rampai yang menghiasi kenduri perkahwinanan atau sekadar diletakkan di dalam almari untuk menghalau lipas, malah aromanya mempunyai keistimewaan yang tersendiri untuk pelbagai resepi yang enak .Mungkin selepas ini teman boleh mencuba beberapa resepi lain seperti Kek Lapis Pandan dan Puding Sekaya Pandan yang menjadi kegemaran teman.Akhir kata untuk sekian kalinya,
Pulau Pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.
Dari teman untuk kenangan;
Seri mewangi pandan seberang,
dihias indah berbunga raya,
Kasih bukan kasih sebarang,
Kasih tulus membawa bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan