Sabtu, 24 November 2012

Simfoni Musim Salju

24 November 2012 bersamaan 9 Muharam 1434H merupakan hari lahir seorang rakan sekerja teman.Sebagai tanda ingatan, kami dari unit pengurusan telah pun merancang untuk beriadah sambil bersarapan pagi di Bukit Cahaya Shah Alam. Ini merupakan kali kedua teman diajak rakan-rakan yang lain untuk turut serta meraikan hari lahir rakan. Seperti biasa kami membuat kutipan ikhlas untuk penyediaan makanan dan hadiah untuk rakan tersebut. Kali ini yang turut serta hanya kami berlima. Tiga rakan yang lain telah dari awal merancang untuk aktiviti bersama keluarga masing-masing.
Pagi itu hujan turun agak lebat.Masa yang dijanjikan 8.45pagi dilajak hingga 9.30pagi bagi menunggu hujan reda.Memandangkan telah bersiap pada masanya, sambil menunggu teman mengambil kesempatan membaca sebuah buku kepunyaan bos teman yang dipinjam lama dahulu tetapi tersimpan dan belum sempat dibaca.Harganya cuma RM10.00 sahaja tetapi berisi dengan pelbagai maklumat yang menyentuh perasaan teman. Ahmadi Al-Aziz menyingkap secara mudah berkaitan isu pergolakan di Turki yang menjadi satu topik rapat bagi teman sejak akhir-akhir ini.Teman telah lama berimpian untuk ke Istanbul, cukup lama niat tersimpan bukan kerana populariti filem 'Istanbul Aku Datang' yang menghiasi pawagam baru-baru ini. Baru beberapa helai habis dibaca, rakan teman pun tiba dan kami memulakan perjalanan ke Bukit Cahaya untuk sekian kalinya.
Pagi itu kawasan parkir telah dipenuhi kereta.Mungkin kerana cuti sekolah,ramai keluarga keluar berekreasi bersama anak-anak apatah lagi kali ini rumah empat musim menyambut kedatangan musim salji.Tarikan empat musim amat ketara bagi orang-orang yang belum pernah melihat dan merasai musim yang luar dari kebiasaan Malaysia.Sambil menunggu bas, beberapa helaian buku sempat teman hayati.Rakan-rakan yang lain pun asyik melayan perasaan masing-masing.Setibanya bas,kami pun bingkas mengambil tempat masing-masing.'Port' kegemaran kami ialah di Taman Cendawan kerana disana ada sebuah menara tinjau yang menjadi sasaran kami untuk berkelah hari itu.Walaubagaimanapun,hajat kami tidak kesampaian kerana ada beberapa kumpulan pelawat yang lebih dahulu duduk melepak di atas menara tinjau itu.Rezeki tempat awam katakan.Kami mengambil keputusan untuk bersarapan di sebuah pondok di depan tasik.Tidak perlu memanjat tangga yang tinggi dan mendapat peluang merasainya tempat baru, kata teman menyedapkan hati si 'Birthday girl'.Kek, nasi lemak dan ayam goreng menjadi juadah sarapan merangkap makan tengahari kami hari itu.Sambil berbual,teman cuba untuk tidak menyentuh hal-hal berkaitan kerja kerana ini sahaja masa yang teman ada untuk mengenali peribadi rakan-rakan sekerja dengan lebih lanjut.Syukur kepada Allah diberi kemudahan bekerja dengan adik-adik yang taat dan rajin.Tanggungjawab ke atas teman untuk memberi tunjuk ajar sebaik mungkin walaupun adakalanya konflik tetap ada.Sambil menikmati nasi lemak yang sedap hasil masakan seorang rakan, sambil itu kami bersembang-sembang.Teman agak serius di pejabat dan jarang bercakap oleh itu masa yang sesuai ini dihiasi dengan gelak ketawa dan cerita masing-masing.Selesai makan dan pemberian hadiah tanda ingatan, kami pun menghabiskan masa dengan bergambar.Rutin biasa bila keluar berkelah untuk simpanan peribadi.

'Port' kami seterusnya ialah rumah empat musim.'Birthday girl' yang sangat meminati siri-siri drama Korea sangat teruja untuk merasai 'Winter Sonata'.Ketika dalam perjalanan,angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menerbangkan dedaun seakan-akan kipas yang tidak teman ketahui namanya hingga ke hari ini.Masih menunggu jawapan seorang kenalan yang mahir dalam bidang tumbuh-tumbuhan.Daun berkipas dua itu berpusing-pusing dari atas.Sangat indah dan menyeronokkan.Kami mengutip daun-daun yang telah jatuh dan membalingnya ke udara sekali lagi.Daun itu tetap terbang berpusing.Terasa agak keanak-anakan tetapi pertama kali teman melihat keindahan kejadian alam itu.Beberapa helai daun yang jatuh teman ambil untuk  kenangan dan dijadikan kolaj.

Musim salji di rumah empat musim ini bersuhu antara -2 hingga -7 darjah celcius.Kedinginannya dirasai tetapi tidak menyamai kedinginan sebenar salji yang pernah teman rasa ketika berada di Beijing,China beberapa tahun lalu.Kedinginan yang sebenar sedikit menyakitkan kerana sejuknya hingga ke tulang.Salji yang sebenar dapat membuat tangan dan kaki menjadi kebas.Rakan-rakan yang lain sangat teruja kerana ini pengalaman pertama mereka dan teman meminta mereka menyimpan impian untuk merasai salji yang sebenar suatu hari nanti.


Nur Atiqah, selamat hari lahir yang ke 23 tahun.Semoga impian Sonata Musim Salju mu menjadi kenyataan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan