11 Disember 2012 bersamaan 27 Muharam 1434H, hari ketiga teman bercuti di kampung. Memandangkan teman perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perancangan Umrah bersama keluarga yang tinggal tidak sampai dua bulan sahaja lagi. Usaha teman dalam anggaran di tahap 40% sahaja masih berbaki 60% perlu diselesaikan. Semoga niat kami untuk beribadah sekaligus melawat tanah suci diizinNYA. Sedikit sedih dan kecewa kerana adik lelaki teman yang diharapkan dapat menemani kami sebagai mahram tidak dapat turut serta atas masalah yang tidak dapat dielakkan. Bagaimana tinggi perancangan manusia, perancangan ALLAH melebihi segalanya. Semoga dia diberi rahmat dan kelapangan untuk ke tanah suci di masa-masa akan datang. Pasti ada hikmah atas setiap yang berlaku.
Malam tadi teman menerima kedatangan tetamu iaitu adik-adik sepupu dan ibu saudara yang sahaja singgah selepas selesai makan malam di luar. Setiap kali balik ke kampung memang tidak lengkap kalau tidak berjumpa saudara-mara berdekatan terutama ibu saudara yang sememangnya rapat dengan teman. Kalau bukan teman ke rumah ibu saudara, beliau yang akan datang ke rumah teman. Lebih-lebih lagi sekarang ini tengah musim cuti sekolah. Sambil mengeteh dan menikmati keropok yang digoreng emak teman, ada yang rancak bersembang ada yang kusyuk mengadap TV. Sempat juga teman bertanya perkembangan pelajaran adik-adik sepupu yang masih bersekolah. Bukan menunjuk pandai tapi sedikit prihatin dengan nasib mereka bila dewasa kelak. Mereka mempunyai minat tersendiri. Salah seorang daripada adik sepupu teman ini seorang pelukis semulajadi. Sejak usia 5-6 tahun,bakat melukisnya amat teman kagumi. Lukisannya berkarakter dan sentiasa menjadi. Bakatnya dalam lukisan luar dari kebiasaan kanak-kanak seusia. Sayang bakat semulajadi ini kalau tidak dipupuk mungkin akan hilang bila dewasa. Dia kini berusia 13 tahun dan bila ditanya, memang minatnya lebih menjurus ke bidang seni lukis dan grafik. Dia juga berkeinginan untuk menghasilkan komiknya sendiri. Lantas teman mencadangkan agar dia mencatatkan setiap idea yang terlintas di fikirannya ke dalam sebuah buku walaupun hanya dengan lakaran pensel. Teman memberi semangat kepadanya kerana motivasi sangat penting untuk dia mempercayai cita-citanya itu. Lebih-lebih lagi walaupun amatur, teman ini juga peminat seni. Mungkin hari ini, dia hanya memiliki lakaran kasar idea komik impiannya, mana tahu 10-15 tahun akan datang impian komik grafiknya menjadi kenyataan. Untuk memastikan dia konsisten dengan cita-citanya itu, teman telah meminta dia menyiapkan idea terawalnya yang akan teman baca hujung bulan ini. Harapnya menjadi!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan