Jumaat, 14 Disember 2012

14 Disember 2012 bersamaan 1 Safar 1434H. Terlalu banyak perkara yang berserabut minta di uruskan. Jadinya ini adalah masa yang terbaik untuk teman meluahkan apa di fikiran, moga-moga mendapat kelapangan. 
2 hari yang lepas 12/12/12; adalah tarikh istimewa bagi kami di pejabat kerana kami akan menggunakan tarikh-tarikh yang 'cantik' untuk mempromosikan pertubuhan syarikat baru. Walaupun tarikh istimewa ini berlaku sekali dalam suatu abad namun tiada sebarang kepercayaan tentang tarikh-tarikh tertentu cuma ianya kelihatan menarik pada sijil pertubuhan syarikat itu nanti.Tidak terlalu taksub dengan tarikh dikhuatiri merosakkan akidah kami sebagai orang Islam walaupun kami pernah belajar secara asas tentang analisis karektar diri mengikut tarikh kelahiran. Secara peribadi, tiada yang terlalu istimewa bagi teman pada hari berkenaan. 12 Disember 2012 adalah hari pertama teman memulakan kerja setelah empat hari bercuti rehat sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Selangor pada hari sebelumnya. Cuti 'rompang' kami gelarkan kerana cuti jatuh pada hari Selasa yang Isninnya perlu bekerja. Masa inilah ramai pekerja mengambil peluang menghabiskan cuti tahunan masing-masing termasuklah teman.Walaupun pengendalian sumber manusia di syarikat teman berkerja agak berbeza kerana tempoh akhir cuti tahunan kami berbeza-beza mengikut tarikh pengesahan jawatan bukan pada setiap 31 haribulan Disember. Almaklumlah perkara-perkara yang tidak termaktub dalam Akta Pekerja 1955 masih boleh diuruselia oleh pihak majikan mengikut kesesuaian dan budi bicara. Tambahan lagi pekerja kami tidak ramai dan masih mudah diuruskan sebegini. Mungkin bila bertambah pekerja nanti kami akan memikirkan polisi yang lebih baik. Bak kata bos teman,'Kita buat polisi syarikat, bukan polisi syarikat buat kita'. Hari pertama bekerja sarat dengan timbunan kertas untuk dikemaskini. Kesulitan sedikit terasa apabila salah seorang rakan seunit telah bercuti panjang untuk menguruskan majlis perkahwinannya pada hari Ahad ini. Memandangkan setiap kami mempunyai pengkhususan kerja masing-masing, teman terpaksa pulang agak lewat dari biasa untuk menyelesaikan laporan harian.
13 Disember 2012, teman ditugaskan untuk bertemu dengan bakal klien di cawangan kami di Shah Alam. Menjadi staf pengurusan di pejabat, peluang untuk kerja-kerja luar dan bertemu orang-orang baru sangat menyeronokan. Masa inilah, segala timbunan kertas boleh ditangguhkan urusannya. Mengisi masa perjalanan ke Shah Alam sambil melayan perasaan, menyelesaikan tugas dan menemani pengurus cawangan makan tengahari sebelum pulang ke ibu pejabat. Ketika berjalan kaki menuju destinasi menjamu selera hari ini, kami sempat singgah di gerai Speedy yang sedang mengadakan jualan murah penghabisan stok.Niat asal hanya melihat-lihat, menjamu mata kata orang tetapi tiba-tiba terpandang dua buah CD yang kelihatan agak menarik ilustrasinya.'Don't judge a book by its cover' pantas hati berbisik supaya mengabaikan keinginan membeli. Namun di fikiran pula menguatkan niat teman untuk membeli CD berkenaan kerana kata orang juga 'Tak kenal maka tak cinta'.Tanpa membuang masa terus 2 buah CD lagu itu teman ambil dan bayar. RM10 sahaja untuk 2 CD yang ASLI. Kalau dicongak-congak rasanya sudah hampir setahun teman tidak membeli CD lagu. Kali terakhir CD yang dibeli adalah himpunan lagu  Maher Zain yang rancak naik di carta radio tahun lepas. Tidak pernah mendengar apatah lagi mengetahui siapa itu Eels (Tomorrow Morning) dan Zain Bhikha (ALLAH Knows). Menunggu masa pulang ke rumah untuk menjadikannya halwa telinga. Selepas selesai solat Maghrib,2 CD ini teman pasang.Ternyata walaupun bermotifkan ilustrasi yang sama dan kedua-dua CD itu berkonsepkan kerohanian tetapi pendekatan bahasa liriknya terlalu berbeza. Bergenre pop alternatif, lebih seperti mendengar 'coral speaking'. Lirik yang panjang dan puitis dihormanikan dengan rentak lagu yang unik. Memang tidak akan terkenal di carta 'mainstream' tetapi menarik bagi teman. Pilihan teman pastinya oleh Zain Bhika dengan senarai lagu yang sangat menarik, bahasa yang sopan dan sesuai dengan jiwa dikala ini. Kalau nak dibandingkan pop alternatif dengan rock ballad kegemaran lama sebelum ini, pastinya jauh sekali. 
Cukup sekali pusingan, CD itu teman simpan. Niat menyambung bacaan terbantut kerana kepenatan. Sorakan rakan serumah yang asyik menonton perlawanan bola di ruang tengah rumah lansung tidak terkesan. Walaupun teman tahu hari ini Harimau Malaya berjuang di padang lawan; Gajah Putih, terasa kemenangan itu jauh kali ini. Layanan tuan rumah yang dari awal seperti tidak ikhlas menyambut kedatangan pasukan Harimau Malaya, mungkin antara faktor rasa kurang minat teman untuk bersama menonton. Demi menjaga jantung hati hari ini, perlawanan kali ini teman abaikan.Tidur sebentar dan bangun semula untuk solat Isya sebelum blog ini teman isi lagi dengan niat meleraikan kekusutan yang bersarang. Ingin di abadikan sebahagian lirik lagu yang menarik dari CD yang teman beli tadi supaya bulan ini blog teman tidak menjadi kosong.

No matter what, inside or out 

There's one thing of which there's no doubt 
Allah knows 
Allah knows 
And whatever lies in the heavens and the earth 
Every star in this whole universe 
Allah knows 
Allah knows ~ Zain Bhika 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan