Selasa, 28 September 2010

Cincin Epal



Ahad lepas langsailah sudah majlis pertunangan sahabat teman yang dikasihi; Azwa dengan jejaka pilihan hatinya; En Jamal. Majlis yang meriah dengan kehadiran kaum keluarga pihak perempuan dan rakan taulan sangat menggembirakan hati teman. Bak kata seorang rakan, ibaratnya dalam hati ada taman;berbunga-bunga.Tahniah kepada sahabat teman kerana semuanya berjalan lancar.Semoga menghargai hubungan yang terbina dan berhati-hati sepanjang tempoh pertunangan. Almaklumlah pasangan berdarah manislah katakan. Petang itu jajan buat tetamu di penghujung majlis sempat teman abadikan sebagai kenangan.
Semanis cincin yang tersarung di jari ,begitu jugalah manisnya Cincin Epal santapan minum petang teman semalam.Cincin epal atau 'Apple ring' sama konsep dengan 'Onion ring' yang biasa dijual di restoran. Cuma rasanya yang manis bertambah enak dengan salutan tepung berperisa kulit kayu manis. Mak teman juga menggemarinya dan mencadangkan ditambah rempah-rempah lain. Mungkin akan teman cuba di kemudian hari. Bagi yang ingin lebih manis boleh lah dimakan bersama madu atau sos karamel. Sesekali menukar selera selain pisang,ubi dan sukun, buah-buahan lain juga enak digoreng.

Cincin Epal

Bahan-bahan dan Cara-caranya :

4 biji epal merah(dibuang kulit dan dibersihkan tengahnya.Hiris bulat)

Bancuhan tepung :
1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh gula halus
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
Sedikit air suam untuk membancuh

Minyak jagung untuk menggoreng.

(Epal yang telah dipotong dibersihkan dan dikeringkan agar tidak terlalu lembap untuk digoreng. Campurkan kesemua bahan bancuhan tepung.Panaskan minyak hingga panas.Celup epal satu per satu dan goreng hingga kekuningan.)

! Pastikan minyak cukup panas untuk deep frying.Kata Chef dalam siri Surreal Gourment suhu minyak hendaklah mencapai 260 Celcius.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan