Ahad, 19 September 2010

Menu Raya Lagi


Semalam, sempat menziarahi rakan teman; Cikgu Atun sempena 'rumah baru' terbukanya. Pendek kata acara tiga dalam satu; rumah terbuka, doa selamat dan perjumpaan rakan-rakan lama sempena hari raya. Menu yang dihidangkan petang itu seperti soto, lemang, rendang, bihun goreng dan triffle menjadi pilihan tuan rumah. Terima kasih Atun kerana menjemput.
Tahun ini teman tak berkesempatan mengikut rakan-rakan berkonvoi kerana pada masa yang sama saudara terdekat merancang beraya dirumah. Pening jugalah memikirkan menu apa yang hendak disediakan. Akhirnya seperti tahun-tahun yang lalu menu rasmi teman untuk tetamu; Makaroni Bakar dan Mee Sup pilihan mak teman disediakan sebagai juadah raya. Alhamdulillah menu makaroni bakar memang mudah disediakan dan menepati selera tetamu yang datang.
Sebenarnya makaroni bakar mempunyai nostalgia yang tersendiri. Selain meminati siri "Rona Roni Makaroni" yang sememangnya menarik dan lucu, teman memang tak boleh lupa kenangan memasak makaroni bakar buat pertama kalinya semasa di tingkatan dua.Kenangan kelas ERT (Ekonomi Rumah Tangga) di sekolah semasa berusia 14 tahun itu sentiasa segar diingatan. Manakan teman boleh lupa, kegagalan menyediakan makaroni bakar yang sempurna hingga terasa malu untuk dihidangkan.Tambahan lagi rakan-rakan lain termasuk kumpulan pelajar lelaki berjaya menyediakan makaroni yang enak dan mudah dipotong, sedangkan makaroni bakar teman yang tak menjadi itu berderai dan tawar rasanya.Insiden 'dimalukan' oleh makaroni bakar membuat teman bertekad untuk membuat makaroni bakar yang sempurna selepas itu.Kegagalan pertama bukan bermakna gagal selama-lamanya :). Tips paling utama untuk menyediakan makaroni bakar selain tambahan keju, bancuhan telur yang betul juga sangat penting untuk melekatkan makaroni bakar. Bahan-bahan inti makaroni bakar terpulang kepada selera masing-masing. Ada yang suka diletakkan daging, sayur-sayuran dan ada yang memilih makaroni dan keju sahaja. Nampak gayanya makaroni bakar akan sentiasa menjadi menu utama untuk tetamu semua, insyallah.

Bahan-bahan dan Cara-Cara :

1 paket makaroni (rebus hingga kembang dengan sedikit minyak)
5 biji bawang merah
5 biji bawang putih (bawang dikisar)
3 sudu cili kisar
1 paket daging kisar
1 kiub ayam
1 paket sayur campur
6 biji telur ayam (dipukul)
1 paket keju (cheddar cheese)
Bawang goreng dandaun bawang sebagai hiasan
Sedikit minyak untuk menumis.

(Tumis bawang dan cili kisar sehingga naik bau.Kemudian masukkan daging kisar dan kiub ayam.Masuk makaroni yang telah direbus dan sayur campur.Biarkan sejuk sebentar.Oles sedikit minyak di loyang.Masukan makaroni kedalam loyang hingga mampat,tuangkan sedikit demi sedikit telur dan lapiskan dengan keju.Hiaskan dengan daun bawang dan bawang goreng. Bakar selama lebih kurang 20 minit )


Tiada ulasan:

Catat Ulasan