Selasa, 14 September 2010

Semperit Raya

Salam Aidilfitri. Syawal masih lagi hangat walaupun sudah lima hari berlalu. Teman tiba-tiba terasa rindu pada kampung yang baru beberapa jam ditinggalkan untuk menyambung agenda harian seperti biasa. Sebahagian saudara-mara sudah pun lebih awal pulang ke kota; yang tinggal hanya mereka yang bercuti lama sempena hari raya Aidilfitri.
Rumusan sambutan raya tahun ini dapat teman ringkaskan sebagai biasa-biasa sahaja.Suasana masih lagi ceria tapi agak sepi.Mungkin kerana ramai saudara terutamanya sepupu-sepupu teman yang tidak dapat beraya dikampung kerana tugasan dan giliran beraya yang harus dipenuhi. Mungkin juga tahun ini merupakan tahun kedua teman beraya tanpa kedua-dua orang Opah yang telah kembali ke Rahmatullah.Hanya doa dikirim tanda ingatan. Bagi yang masih ada, panggilan telefon serta kiriman salam dikejauhan mendekatkan kami semua.Kepada sepupu-sepupu dan saudara-mara sekalian, salam Syawal teman ucapkan dan semoga tahun depan kita berjumpa lagi. Begitu juga buat rakan-rakan semua.
Bercerita tentang hari raya pada usia teman ini pastinya tiada lagi sambutan berbunga api atau mercun yang memeriahkan malam raya. Atas sebab faktor keselamatan, kanak-kanak juga tidak dibenarkan lagi bermain bunga api.Walaubagaimanpun, malam-malam raya di kampung masih tetap gamat dengan dentuman mercun dari rumah-rumah lain yang saling berbalas 'tembakan' dan das meriam buluh. Paling kelakar apabila ditanya yang rancak bermain bukanlah anak-anaknya tetapi kaum bapa yang lebih rancak membakar mercun untuk keseronokan dan kemeriahan suasana. Bagi kaum ibu dan anak-anak gadis pula pasti tak senang duduk dan sibuk didapur hampir sepanjang hari. Apa tidaknya, kunjungan dari saudara-mara jauh dan dekat sememangnya tidak putus-putus yang pastinya tidak sah kalau tidak dijamu dengan juadah yang istimewa.Sebut saja lemang, ketupat dan rendang sememangnya sinonim dengan bulan raya. Teman paling tidak boleh menolak menu wajib ibu saudara teman;Andang iaitu Lontong. Kiranya juadah raya memang tidak lengkap tanpa Lontong Andang yang dimakan bersama Nasi Impit. Cerita tentang nasi impit hendak dijadikan cerita pada hari raya pertama tempohari ketiga-tiga rumah dikampung menyediakan menu Nasi Impit tapi dengan kuah colek yang berbeza. Rumah lembah dengan Nasi Impit Kuah Kari Ayam, rumah tengah iaitu rumah Wan Teh dengan Nasi Impit Kuah Kacang manakala rumah changkat yakni rumah Andang dengan Nasi Impit Kuah Lontong. Menu sama tapi tak serupa yang masih 'terhangat di pasaran' walaupun telah dijamah berkali-kali. Hari ini teman sempat beraya dirumah Acu dengan hidangan laksa yang pastinya membuka selera kami yang dah agak ketepuan dengan lemang dan rendang. Selain juadah berat pengisi perut sepanjang raya ini, bermacam-macam kuih yang dijamu. Ada yang moden dan yang tradisional pastinya tidak dilupakan. Sebut saja kuih 'London Almond', Tat Nenas,Cornflakes Madu dan Biskut Cip Cokelat pastinya tidak sah hari raya tanpa kuih-kuih ini. Kuih moden penyeri meja makan dihari raya. Bagi yang ingin mengekalkan tradisi, kuih seperti Semperit, Putu Kacang, Kuih Siput, Mazola dan Kuih Makmur sudah pasti tidak dilupakan. Teman sangat gembira bila mak teman sudi membantu membuat kuih semperit yang sememangnya mudah tetapi tanpa skil yang betul bentuk bunga yang kemas tidak akan terbentuk. Kuih semperit ini sangat teman gemar kerana rasanya yang halus lebih-lebih lagi dengan adunan tepung kastard dan tepung jagung yang betul. Resepinya juga sangat mudah. Kalau sukar membentuknya seperti bunga dengan acuan khas, semperit juga boleh dibuat bentuk-bentuk lain. Pendek kata lenguh juga teman menerap bunga semperit sempena hari raya tahun ini.

Bahan-bahan dan Cara-caranya :

3 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung jagung (semua tepung diayak terlebih dahulu)
1 cawan gula (dikisar halus)
1 cawan marjerin 2 biji telur (diambil kuning sahaja)
1 sudu teh serbuk penaik.
1 sudu teh esen vanila.
Ceri sebagai hiasan.

(Gula dipukul bersama-sama marjerin hingga kembang.Masukkan telur kuning dan esen vanila lalu pukul perlahan-lahan.Masukkan tepung dan serbuk penaik.Uli perlahan-lahan sehingga terbentuk doh yang lembut. Ambil sedikit untuk diterap menggunakan acuan khas untuk kuih semperit.Hiasi kuih dengan ceri merah.Bakar dalam dulang yang dioles sedikit minyak untuk mengelakkan semperit dari melekat.Bakar dalam api yang sederhana lebih kurang 15-20 minit.)

! Tepung jagung yang berlebihan akan membuat adunan doh sedikit lembut dan berderai.Oleh itu tambah sedikit tepung kastard atau tepung gandum sekiranya doh terlalu lembut untuk dbentuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan