Sabtu, 13 April 2013

Indahnya Menjadi TetamuNYA (1.0)

Salam hujung minggu.
Entri kali ini teman ingin berkongsi cerita tentang perjalanan umrah teman sekeluarga pada awal tahun yang lalu.Agak lama masa yang diambil untuk membuat keputusan bercerita tentang hal ini, mungkin teman perlu bersedia memberi yang terbaik. Entri ini juga ditujukan khas buat sepupu teman; KT (you know who you are :)).
Jika ditanya apakah perasaan teman selesai menunaikan umrah,tiada perkataan lain yang dapat digambarkan melainkan semua cukup indah.Hasrat ingin menunaikan umrah telah lama disimpan,menunggu masa dan belanjawan yang mencukupi.Apatah lagi tahun ini giliran teman mendapat bonus umrah dari syarikat tempat bekerja.Tidak mahu bertangguh lagi lalu teman bersetuju dengan cadangan majikan untuk mengambil pakej yang ditawarkan oleh agensi Sutra Bistari milik Pn Intan dan diwakili oleh Ustaz Ghazali Ibrahim.Keputusan membuat umrah tahun ini bertambah seronok apabila emak dan adik-adik perempuan teman ingin bersama-sama.Walaupun adik lelaki teman pada awalnya memang tidak terlibat sama kerana belum bersedia,kami tidak gusar kerana dijanji kumpulan yang boleh 'menumpang' mahram.Beg baru yang siap dikemas hanya menunggu masa untuk berangkat.Niat perjalanan kali ini amat memberi semangat dan keyakinan yang luarbiasa.
Setelah selesai bayaran pakej teman dimaklumkan bahawa awal tahun ini Kerajaan Arab telah memperketatkan syarat mahram bagi jemaah umrah perempuan.Perasaan bercampur baur apabila disaat-saat akhir teman terpaksa juga memujuk adik lelaki untuk turut serta.Jika tidak kami mungkin tidak dapat menunaikan umrah tahun ini!
Alhamdulillah dengan izin Allah,berkat doa dan usaha, setelah diberi penerangan lansung oleh Ustaz Ghazali, adik lelaki teman sedia untuk bersama-sama kami mengerjakan umrah pada tahun ini.Firman Allah SWT.: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah, ayat 196).Berbekal firman Allah ini teman dan keluarga berserah diri untuk segera menunaikan ibadat umrah walaupun  di hati kecil ini banyak juga yang dikhuatiri kerana diri ini tidak terlepas dari berbuat dosa kepadaNYA. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kami dan memberi kelapangan bagi kami hendaknya.
19  Januari 2013 (Sabtu) = 6 Rabiulawal 1434 H
Alhamdulillah selamat urusan perlepasan dan penerangan ringkas oleh Ustaz Ghazali kami sekeluarga bersama-sama rombongan yang lain menuju untuk menaiki kapal terbang.Rombongan kami  ini disertai oleh peserta umrah dari utara yang hampir semuanya dari Baling Kedah.Kami sekeluarga walaupun berasal dari Perak tetapi telah transit lebih awal di rumah makcik teman di Selangor.Kasihan melihat sebahagian besar jemaah warga tua kepenatan kerana perjalanan semalaman dari Kedah ke KLIA.Walaupun begitu mereka tetap bersemangat dan ceria.Rezeki penerbangan kami adalah dengan Emirates Air.Oleh itu kami akan transit selama 2 jam di Dubai.                                                                                                                                               Penerbangan kami pada jam 7.30 malam dan anggaran dari Kuala Lumpur (KUL) ke Dubai (DXB) ialah 5556KM ini akan mengambil masa lebh kurang 7 jam perjalanan.Kami menikmati makan malam pada jam 10.30 malam dan dikejutkan sekali lagi untuk hidangan tengah malam pada jam 1pagi.
Jam di zon dubai masih 9.05 malam (19/1/13) manakala jam ditangan yang tidak diubah waktunya menunjukkan 2.00 pagi waktu Malaysia.30 minit lagi kamu dijangka sampai di transit Dubai. Alhamdulillah sampai di Dubai,rombongan kami terus menuju ke surau untuk solat jamak taakhir Magrib-Isya' , memakai ihram dan berniat umrah.Selesai solat dan niat teman segera keluar berkumpul dan alangkah seronoknya melihat adik lelaki teman lengkap berihram.Terima kasih Allah kerana telah menzahirkan niat kami sekeluarga untuk mengerjakan umrah.
Bersambung....................

Tiada ulasan:

Catat Ulasan