Salam.
Entah apa yang ingin diceritakan hari ini.Mungkin berasa serba tak kena ruangan ini dibiar kosong terlalu lama.Mengambil kesempatan cuti rehat ini teman dan emak telah meluangkan masa pagi kami beriadah di taman rekreasi berhampiran.Sesudah selesai menonton bual bicara 'Tanyalah Ustaz' di kaca televisyen kami mengorak langkah ke taman berdekatan.
Setiba disana, kawasan itu tidak pernah lekang dengan pengunjung setianya. Usai beberapa pergerakan wajib untuk memanaskan badan, teman dan emak memulai langkah mengelilingi kawasan taman itu.Berjalan perlahan dan langkah dilajukan sambil memerhati kehijauan taman dan warna-warni bunga di taman.
Sambil berjalan, sempat lagi teman mengambil gambar sepohon pokok yang mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.Pokok ini mengeluarkan bunga berwarna merah jambu dan putik bunga berwarna kuning.Jika dulu-dulu, bunga kuning itu sering menjadi rebutan bagi kami kanak-kanak perempuan.Bukan apa bunga kuning itulah yang dicantum satu persatu untuk dijadikan rantai hiasan apabila bermain pondok-pondok.Emak menggelarkannya pokok bunga Jepun.Entah apa agaknya nama sebenar pokok itu.Apakah kanak-kanak perempuan zaman ini masih lagi berebut-rebut memetik bunga kuning itu untuk dijadikan rantai?Atau kewujudanya hanya sekadar penghias laman dan tidak lagi diendahkan.Begitulah masa berlalu dan zaman pun berubah.Apatah lagi aktiviti masa lapang anak-anak zaman sekarang lebih banyak dihabiskan dihadapan komputer.
Hujung minggu yang sama teman menantikan kedatangan dua orang sahabat yang ingin datang melawat.Sekadar ingin menghabiskan masa bersama, kami hanya berehat di rumah dan tidak kemana-mana.Bosan dengan menu yang sama, emak teman telah mengambil keputusan tengahari itu kami akan memasak asam pedas ayam selain lauk sayur dan tempe goreng cili.Seorang sahabat yang agak rapat dengan orang Johor memanggil asam pedas ayam itu asam pedas malas.Agak pelik dan kelakar mendengarnya.Mungkin terlalu mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak, maka tengahari itu kami kenyang dengan asam pedas ayam malas ala Chu Za,Alhamdulillah.Resepi mudah bagi mereka yang inginkan sesuatu yang mudah,cepat dan lazat dimakan walaupun anda bukan seorang yang malas memasak.
1/2 ekor ayam dipotong sederhana
2 sudu besar belacan
3 sudu besar cili kisar
3 biji bawang putih
3 biji bawang merah
sedikit halia
2 batang serai
3 batang bunga kantan
1/2 cawan air Asam jawa
2 helai asam keping
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
Air secukupnya untuk kuah.
Tumbuk bawang putih,bawang merah.halia dan belacan.Titik sedikit serai.Tumis bahan yang ditumbuk hingga naik bau dan masukkan cli kisar.Tumis lagi hingga cili sedikit garing.Masukkan ayam dan gaulkan. Tambah air asam jawa dan asam keping.Masukkan serai,bunga kantan,garam, gula dan air secukupnya.Masak hingga menggelegak kuahnya.
Bagi yang suka boleh ditambah daun kesum sekiranya ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan