Sabtu, 17 Julai 2010

Cucur Bawang Ikan Lalala BBL

Selamat pagi cikgu...! Wah terngiang-ngiang ucapan zaman sekolah yang mempunyai iramanya tersendiri :). Begitu juga perasaan bangga terhadap mak teman dan kawan-kawan yang berjaya menempatkan diri dalam bidang perguruan dengan penuh dedikasi. Walaupun ramai yang beranggapan bidang pendidikan sangat sesuai dengan diri teman ini, tapi percubaan mengajar tuisyen beberapa minggu terdahulu amatlah menguji kesabaran minda dan emosi. Syabas bagi mereka yang mampu menggalas tugas mulia ini dengan tekun dan sabar. Mungkin kerana teman mengajar adik-adik yang bersekolah menengah rendah , oleh itu kemampuan berinteraksi dan memahami masalah mereka sememangnya mencabar akibat faktor berbezaan umur dan karektor. Ada yang nakal tapi giat dan minat belajar, ada yang senyap tapi memberontak dalam diam dan ada jugalah yang terlalu skema sehingga tak terjawab teman dengan soalan-soalan yang ditanya. Memang meletihkan, nah! itu baru mencuba, belum lagi teman menghadapi situasi yang sama setiap hari atas dasar kerjaya. Jadi dengan itu teman wajib bersyukur, walaupun pelbagai dugaan terpaksa dihadapi dengan kerjaya teman sekarang, walaupun tidaklah mudah sangat dan tidak juga terlalu sukar tapi teman masih mampu untuk bekerja dan membantu. Kriteria yang perlu ada untuk kerja teman?Boleh berkomunikasi dan sabar. Cita-cita? Menjadi seorang yang berjaya dan bahagia. Semudah itu kerana itulah doa mak teman untuk teman apabila ditanya.
Zaman sekolah dahulu adalah masa yang paling panjang bagi teman untuk bersama keluarga. Bangun seawal pagi kerana mengikut mak yang akan menghantar teman ke sekolah dengan kereta Toyota LEnya. Berbasikal bersama kawan-kawan hanya di awal persekolahan. Mak teman yang teman anggap sebagai
'A Woman With Altitude', tahu apa yang diinginkan dalam hidup dan sangat tenang. Jarang sekali teman melihat mak menangis. Terlalu kuat dan teman mungkin tidak dapat menjadi sepertinya. Pagi tadi, sibuk menggoreng cucur bawang dengan bumbu ikan tongkol lebihan semalam. Teringat mak teman yang walau sesibuk mana sekalipun bekerja masih dapat menyediakan sarapan pagi untuk kami adik-beradik.Walaupun semudah nasi goreng, maggi goreng dan cucur bawang. Kalau dulu kami adik beradik selalu merungut, mengadap menu yang sama setiap minggu.Tapi disaat ini, mahu saja meminta mak teman menyediakan cucur bawang air tangannya itu. Cucur Bawang Ikan Lalala BBL, cucur bawang moden rekaan teman tanpa kucai dan ikan bilis. Suka pada pengubahsuaian mengikut apa yang ada didapur. Lainlah kalau tiada apa-apa, barulah teman mencarinya di pasaraya berhampiran. Ya, segalanya sangat mudah disini, sangat nyaman dan cukup. Betul juga kata bos teman, jangan dirunsingkan apa yang berlaku kerana yang penting kita kena berusaha; sebahagian yang baik tentang dirinya. Bagi teman yang terlalu banyak berfikir tentang kerja, semoga dengan doa itu, ditunjukkan mana yang terbaik untuk teman berada. Mudahkanlah Ya ALLAH segalanya.

Cucur Bawang Ikan Lalala BBL

Bahan-bahan dan Cara-caranya :

2 cawan tepung gandum (diayak)
2 sudu tepung jagung (pilihan untuk merangupkan)
1 sudu garam halus
1 biji telur ayam

2 ulas bawang merah
1 biji cili merah

1 biji cili hijau (bawang dan cili dipotong dadu)
Hirisan halus kobis ungu (pengganti kucai yang tiada)

Bumbu ikan (paling mudah ikan bilis yang ditumbuk)
2 cawan air (untuk membancuh adunan tepung)
Minyak jagung untuk menggoreng


(Kesemua bahan dicampur dan pastikan tidak terlalu cair untuk dibuat jemput-jemput.Goreng dalam minyak yang dipanaskan dengan api sederhana)



~Life Is Simple but WE Make it Difficult~

Sate Lilit Ikan Tongkol BBL

Teringat kembali kenangan lama teman bersama kawan-kawan yang asyik 'berjalan' kesana kesini, amalan sejak tahun akhir kami di universiti. Terasa cepat benar masa berlalu dan teman kini sudah pun 6 tahun bekerja. Masa yang panjang masih berjaya mengekalkan minat kami yang suka 'berjalan'.Teman bersyukur dikurniakan kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama dan kelapangan untuk turut serta bila ada antara kami yang merancang untuk melawat tempat orang.
Tuhan..teman ingin sekali melihat duniaMU yang luas ini. Kagum dengan kebesaranMU setiap kali dapat menjejakkan kaki kesuatu sudut dunia yang bukan baru, tapi baru ketemu.
2007,belajar memperbaiki diri dan mendisplinkan diri untuk bersolat walaupun agak sukar; sesukar kami bersolat diruang yang sempit berdekatan kuil-kuil Tanah Lot yang mana kami anggap darurat kerana mengejar waktu senja. Masih skeptikal dengan keadaan ruang sempit dan sejadah lusuh dan berdebu, tapi keranaMU kami akur. Agak pelik dengan kesediaan warga Bali terhadap pertembungan budaya dan agama yang cuba teman terima dengan minda terbuka. Jiwa muda ketika itu yang ingin bersuka-ria membawa kami kesana. Alhamdulillah kawan-kawan yang masih menjaga tatasusila 'gadis melayu bukan terakhir', kekal selamba dengan sogokan info-budaya Hindu dan pandangan ahli-ahli mereka tentang Islam.Tidak membantah dan tidak menerima kerana bagi kami ketika itu mendengar lebih baik dari mengulas. Fokus utama ialah 'berjalan'. Tambahan lagi ketika itu situasi masih panas dengan peristiwa pengeboman Bali yang dimaklumkan oleh Pak Supir angkara orang luar. Asyik dengan Tarian Barongan, kagum dengan hasil seni ukir dan lukis Ubud, nikmat makan malam pantai Kuta dan rindu dengan suasana nyaman Kintamani tempat kami menikmati hidangan istimewa ini; Sate Lilit Ikan. Istimewa kerana itu adalah pertama kali teman dan kawan-kawan melihat dan merasa Sate Lilit Ikan yang bagi teman sangat unik. Dek rindu itu juga, pagi-pagi lagi teman berniat mencari ikan di pasar basah untuk membuat sate sendiri pertama kalinya. Resepi sate ikan, teman merujuk kepada laman web dan ubah suai mengikut apa yang ada didapur. Menjadi juga rasa bumbu ikan dan harum serai yang menjadi pencucuk sate ini. Rasanya lebih kurang seperti Otak-Otak Ikan. Sate Lilit Ikan Tongkol BBL ala Bali-Bali bakal menjadi menu baru berasaskan ikan dalam koleksi teman. Gembira menikmatinya berdua dengan teman serumah sebagai snek malam dan menerima komen positif
.

Sate Lilit Ikan Tongkol BBL ala Bali-Bali

Bahan-bahan dan Cara-Cara :

2 ekor ikan tongkol ( dibersihkan dan diambil isi sahaja)
5 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
2 inci halia
Garam secukup rasa (kesemua bahan dikisar sampai halus menjadi bumbu ikan)
10 batang serai (dipotong sedikit panjang dan diracik sedikit hujungnya)
1 biji telur (diambil bahagian putih sahaja untuk celupan)
1 cawan serbuk emping jagung (pilihan salutan untuk merangupkan bumbu ikan)
Minyak untuk menggoreng (hari ini memilih minyak jagung)

(Bumbu ikan dikepal bulat dan dicucuk pada batang serai satu persatu.Proses mengemas bumbu pada serai dengan cara melilit. Celupkan sate didalam telur putih dan disalut dengan serbuk emping jagung. Berhati-hati agar bumbu tidak pecah dan goreng dalam minyak panas dengan api sederhana hingga kekuningan dan masak isinya)


!-Boleh juga menggunakan isi ikan kerisi atau sardin tin sekiranya tiada stok ikan segar.
!!- Serbuk emping jagung menjadi pilihan teman kerana baki dari stok sarapan masih banyak. Boleh juga sate disalut dengan serbuk roti.

Ahad, 11 Julai 2010

Nasi Lemak Kampung Baru Ampang BBL


Salam.Sudah banyak hari teman bercuti dari menulis blog sebab tak ada apa-apa cerita yang berbeza dari hari-hari biasa. Minggu lepas, teman mengambil keputusan untuk bercuti dari hari Jumaat hinggalah hari Isnin depan. Bila ditanya rakan sepejabat kenapa teman mengambil cuti panjang, sememangnya niat utama untuk berehat dan sudah hampir sebulan teman tak menjenguk keluarga di kampung. Sememangnya setiap kali bercuti panjang, setiap itulah juga usikan rakan-rakan sepejabat samada teman bertunang secara rahsia. Lucu bila teringatkan usikan rakan-rakan. Lainlah kalau artis yang ingin berahsia, takkanlah teman nak berahsia dengan mereka hal-hal seumpama ini. Kali ini sememangnya teman cuti panjang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan memenuhi jemputan kawan sekolah lama yang ingin mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan. Tak sangka teman, dalam sibuk-sibuk teman membantu sahabat baik teman untuk persiapan pertunangannya, rupa-rupanya dalam senyap-senyap yang seorang lagi dah mendahului. Memang 'engagement marathon' sungguh. Tahniah buat kawan-kawan yang sedang asyik masyuk dengan kehidupan baru sebagai tunangan orang. Terasa berbunga-bunga hati teman bila kawan-kawan lama teman ini sudah ' berdarah manis' :). Kalau ditanya orang bila pula teman nak mengikut jejak kawan-kawan, jawapannya teman sendiri tak tahu tapi teman yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Sepanjang percutian di kampung, apa yang boleh teman ringkaskan, hari-hari yang penuh dengan rehat, gelak ketawa dan makanan. Makan tengahari teman hari Sabtu tempohari di majlis pertunangan kawan teman; Nurul, lengkap dengan nasi berlaukkan kari telur, ayam masak merah, kerabu taugeh-pegaga dan masak lemak nangka muda. Itu belum cukup dengan telur asin, pulut kuning dan ikan kering yang harum baunya sebagai pelengkap hidangan majlis. Berbunga lagi hati bila menerima ole-ole berisi kek coklat, bun dan cupcake berhias fondant yang semuanya hasil buatan tangan ibu kepada kawan teman ini. How I wish this days will never end. Setiap kali berjumpa kawan-kawan lama, terasa 15 tahun lebih muda. It is definately the cheapest anti-aging medium. Gelak besar adik-adik teman mendengar kata-kata hikmat teman tu. Sememangnya ya, apatah lagi bila berjumpa 'geng budak basikal'; nama kumpulan yang diberi oleh sahabat baik teman kepada kami-kami ini; teman, Atun, Nurul, Rosni dan Azwa. Kawan, kalian adalah antara orang-orang yang paling konsisten dalam hidup teman. Once again, I wish this group will never end. Kalau nak teman gambarkan bagaimana kehadiran kalian dalam hidup teman ini, seumpama Nasi Lemak Kampung Baru Ampang BBL. Nama gelaran menu nasi lemak yang mak teman sediakan bila kami adik-beradik semua berkumpul. Nasi lemak mak teman ini mungkin tak semasyur nasi lemak Kampung Baru KL . Tapi nasi lemak ini tetap yang paling istimewa pada teman adik beradik kerana memang kena dengan selera kami. Selain santan dan daun pandan, nasi lemak mak teman ini ditambah hirisan nipis bawang, halia, kulit kayu manis dan pastinya rempah kegemaran teman iaitu bunga lawang. Teman belum pernah lagi jumpa di mana-mana tempat nasi lemak yang rasanya serupa dengan rasa nasi lemak mak teman ini. Nasi lemak yang tak sah tanpa ditemani Ayam Masak Merah Chu Za. Tambahan lagi adik bongsu teman yang dah pandai menjenguk dapur dan ringan tangan memegang sudip dan kuali. Walaupun sambal tumisnya belum mencapai tahap piawaian tapi kesungguhan melengkapkan hidangan pagi Sabtu kami dengan sambal tumis ikan bilisnya amat teman hargai. So this time, I guess I should keep it as 'Resepi Rahsia' dan kawan, kalian adalah umpama keluarga yang cukup serba serbinya.


~ Friend are family that we choose~

Selasa, 6 Julai 2010

Fettucini Folloppi

Pertamanya hari ini teman nyaris-nyaris tak dapat nak 'sign in' kedalam blog teman yang tak sampai setahun jagung ni. Kononnya kegagalan memberi kata kunci/password yang tak sepadan dengan e-mail yang didaftarkan. 'Apa kehenyer....' Insyallah ingatan teman ni masih muda belia dan takkan semudah itu lupa pada benda-benda yang mudah macam tu. Rasanya belum lagi tahap perlu mengambil herba Gingko Biloba untuk menambah ingatan. Cukuplah air mineral yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran menjadi peneman. Sah-sah papan kekunci laptop teman ni masih elok berfungsi. Mulalah teman berfikir yang bukan-bukan tentang kegagalan yang melanda.Tapi alhamdulillah, perkara sekecil ini telah berjaya diatasi dan teman lega dapat mencoretkan cerita teman hari ini.
Hari ini seperti biasa,orang-orang 'simple' macam kami, jarang masak beria untuk mengisi perut. Pagi membawa ke tengahari cukup dengan dua keping roti gandum penuh yang dicicah sup cendawan dan oat. Memandangkan pukul 11.00 pagi baru sempat menjamah makanan, ajakan rakan sepejabat untuk minum pada pukul 6.30 petang terisi dengan roti nan ayam tandoori kedai mamak di selekoh jalan. Lama jugalah teman tak mengidam roti nan tandoori dek memikirkan kesan kalorinya. Setelah hampir selesai dengan menu hari ini, sempat teman berbual dengan 'big bos' yang 'langkah kiri' dan semakin mengecil dek regim diet yang sangat konsisten dan berdisiplin sejak akhir-akhir ini. Kagum teman dengar kesungguhan bos lelaki teman ini menjaga pemakanannya demi sebuah kehidupan dan yang pasti demi kesihatan. Bertambah kagum dengan cerita beliau yang mengikuti program khas dan menumpu terhadap pengambilan optima sayur-sayuran selain pengambilan protein dan karbohidrat yang sangat minima.Tapi hari ini teman tewas sekali lagi, ditambah dengan teh tarik pelengkap minum petang yang teman kira menjadi santapan akhir untuk hari ini. Rupa-rupanya teman serumah, Kak Gee yang berpuasa hari ini sejak awal-awal lagi dah merancang untuk mencuba resepi pasta terbaru ala-ala oriental. Harum sungguh bau pasta 'fettucini' yang dimasak dengan sos tiram bertambah lazat dengan potongan tomato, brocoli dan udang. Berselera betul rakan seorang lagi menghirup sup telur dan cendawan butang sebagai kuah pasta hari ini. Lucu jadinya apabila rakan teman yang seorang ni menyebut fettucini sebagai folloppi. Jadilah nama khas resepi Kak Gee hari ni dari teman;'Fettucini Folloppi'. Teman apa lagi, memang tak terlepas untuk 'join semeja'. Aduh....habis lagi pelan diet teman yang asyik tak menjadi. Walaubagaimanapun, orang memberi kita merasa..terima kasih daun keladi..

Sabtu, 3 Julai 2010

Pasta Goreng Sepetang


Yessss....Alhamdulillah, cuti hari Sabtu yang dinanti-nantikan telah tiba setelah 2 hari Sabtu berturut-turut diwajibkan bekerja kerana gantian. Hari ni pagi-pagi lagi suasana di depan tv agak meriah dengan rakan-rakan serumah yang jarang-jarang dapat berkumpul sekali walaupun duduk serumah dan bekerja sepejabat. Maklumlah kami masing-masing dari unit-unit yang berbeza dan mempunyai komitmen masing-masing. Teman pun akui yang teman lebih suka meluangkan masa bersendirian di kebanyakan masa. Tapi sesekali pasti akan meluangkan masa bersama-sama bagi merapatkan ukhwah. Maklumlah tugas teman sebagai orang 'Admin & HR' yang kadangkala tak terlepas dari menegur dan ditegur dan akhirnya boleh menimbulkan suasana kurang ramah di pejabat. Sedangkan teman pasti niat kita masing-masing pasti demi kebaikan bersama. Jadi teman tak naklah apa yang berlaku di pejabat dibawa-bawa sehingga ke rumah. Kebiasaannya suasana ini pasti berakhir dengan cara yang baik dan aman.
Hari ini juga, sepatutnya teman dan rakan-rakan serumah yang lain menghadiri kenduri walimatulurus kakak kepada rakan sepejabat. Terima kasih Mazlini atas jemputan dan maaf juga teman tidak dapat hadir. Insyallah, ada rezeki kenduri adik kembar kepada Pn Mazlina ini pasti akan teman hadiri sekiranya dijemput :)

Sambil duduk-duduk merehatkan diri, menonton tv yang pastinya siaran kegemaran 7o7-'Travel & Living', perut teman yang berkeroncong mula minta diisi. Tak sangka jugak aura lapar dikongsi bersama Kak Gee yang rupa-rupanya memasang niat memasak mee segera. Jadi tanpa membuang masa, teman yang tiba-tiba teringin menjenguk dapur yang sekali-sekala dilawati itu mula menawarkan diri memasak apa-apa yang ada. Pastinya yang agak mudah, agak cepat dan agak sedap dimakan. Jadi baki stok pasta yang ada menjadi menu makan petang kami hari ini. Niat asal teman nak mencuba resepi 'Spaghetti Aglio Olio e Peperoncino' yang pernah dicadangkan oleh Pn Radziah; pemilik gym yang sudah 2 minggu teman tak pergi. Antara jadi dan tidak, resepi asal yang sememangnya sangat ringkas telah teman tokok tambah sesedap rasa dengan bahan-bahan yang ada di dapur. Spaghetti dah bercampur Makaroni dan berwarna warni jadinya. Resepi ini sepatutnya menggunakan 3 bahan utama sahaja iaitu 'Aglio'/bawang putih,'Olio'/Minyak Zaitun dan 'Peperoncino'/Cili. Cumanya kali ini kurang berkrim dan kurang masam tomato seperti resepi 'Carbonara' dan 'Bolognese'. Sambil menikmati hidangan,kami sempat berbual untuk merungkai 'masalah dunia' yang sedia ada.


Pasta Aglio Olio Peperoncino BBL Style
Bahan-bahan dan cara-cara :

-150 g Spaghetti (1/2 peket direbus hingga lembut dengan 1 sudu minyak zaitun dan ditoskan)

-5 biji bawang putih (dicincang halus)

-1/2 biji bawang besar (didadu)

-1 biji cili benggala hijau/merah (dihiris kecil/didadu)

-4 keping cili kering (dihiris kecil)
-1 sudu setiap satu serbuk thyme,basil, oregano dan paprika
-2 sudu serbuk roti

-Minyak zaitun untuk menumis

-Potongan sosej cendawan rebus (tambahan)

-Sauteed tomato segar (tambahan)

(Panaskan sedikit minyak zaitun dan tumis bawang sehingga kekuningan, masukkan semua serbuk rempah dan cili.Tumis hingga naik bau.Masukkan spaghetti yang telah ditoskan dan goreng sebentar dengan api yang perlahan sebelum ditambah serbuk roti.Akhir sekali masukkan bahan tambahan iaitu sosej dan sauteed tomato sebagai hiasan dan perasa tambahan)

! Serbuk roti boleh dibeli segera di kedai atau dibuat sendiri. Sekiranya ada roti perancis, sagat roti untuk mendapat serbuknya. Atau boleh juga dibakar apa-apa saja baki roti yang ada, roti putih atau roti gandum penuh dan dikisar halus sehingga menjadi serbuk.