Sabtu, 3 Julai 2010

Pasta Goreng Sepetang


Yessss....Alhamdulillah, cuti hari Sabtu yang dinanti-nantikan telah tiba setelah 2 hari Sabtu berturut-turut diwajibkan bekerja kerana gantian. Hari ni pagi-pagi lagi suasana di depan tv agak meriah dengan rakan-rakan serumah yang jarang-jarang dapat berkumpul sekali walaupun duduk serumah dan bekerja sepejabat. Maklumlah kami masing-masing dari unit-unit yang berbeza dan mempunyai komitmen masing-masing. Teman pun akui yang teman lebih suka meluangkan masa bersendirian di kebanyakan masa. Tapi sesekali pasti akan meluangkan masa bersama-sama bagi merapatkan ukhwah. Maklumlah tugas teman sebagai orang 'Admin & HR' yang kadangkala tak terlepas dari menegur dan ditegur dan akhirnya boleh menimbulkan suasana kurang ramah di pejabat. Sedangkan teman pasti niat kita masing-masing pasti demi kebaikan bersama. Jadi teman tak naklah apa yang berlaku di pejabat dibawa-bawa sehingga ke rumah. Kebiasaannya suasana ini pasti berakhir dengan cara yang baik dan aman.
Hari ini juga, sepatutnya teman dan rakan-rakan serumah yang lain menghadiri kenduri walimatulurus kakak kepada rakan sepejabat. Terima kasih Mazlini atas jemputan dan maaf juga teman tidak dapat hadir. Insyallah, ada rezeki kenduri adik kembar kepada Pn Mazlina ini pasti akan teman hadiri sekiranya dijemput :)

Sambil duduk-duduk merehatkan diri, menonton tv yang pastinya siaran kegemaran 7o7-'Travel & Living', perut teman yang berkeroncong mula minta diisi. Tak sangka jugak aura lapar dikongsi bersama Kak Gee yang rupa-rupanya memasang niat memasak mee segera. Jadi tanpa membuang masa, teman yang tiba-tiba teringin menjenguk dapur yang sekali-sekala dilawati itu mula menawarkan diri memasak apa-apa yang ada. Pastinya yang agak mudah, agak cepat dan agak sedap dimakan. Jadi baki stok pasta yang ada menjadi menu makan petang kami hari ini. Niat asal teman nak mencuba resepi 'Spaghetti Aglio Olio e Peperoncino' yang pernah dicadangkan oleh Pn Radziah; pemilik gym yang sudah 2 minggu teman tak pergi. Antara jadi dan tidak, resepi asal yang sememangnya sangat ringkas telah teman tokok tambah sesedap rasa dengan bahan-bahan yang ada di dapur. Spaghetti dah bercampur Makaroni dan berwarna warni jadinya. Resepi ini sepatutnya menggunakan 3 bahan utama sahaja iaitu 'Aglio'/bawang putih,'Olio'/Minyak Zaitun dan 'Peperoncino'/Cili. Cumanya kali ini kurang berkrim dan kurang masam tomato seperti resepi 'Carbonara' dan 'Bolognese'. Sambil menikmati hidangan,kami sempat berbual untuk merungkai 'masalah dunia' yang sedia ada.


Pasta Aglio Olio Peperoncino BBL Style
Bahan-bahan dan cara-cara :

-150 g Spaghetti (1/2 peket direbus hingga lembut dengan 1 sudu minyak zaitun dan ditoskan)

-5 biji bawang putih (dicincang halus)

-1/2 biji bawang besar (didadu)

-1 biji cili benggala hijau/merah (dihiris kecil/didadu)

-4 keping cili kering (dihiris kecil)
-1 sudu setiap satu serbuk thyme,basil, oregano dan paprika
-2 sudu serbuk roti

-Minyak zaitun untuk menumis

-Potongan sosej cendawan rebus (tambahan)

-Sauteed tomato segar (tambahan)

(Panaskan sedikit minyak zaitun dan tumis bawang sehingga kekuningan, masukkan semua serbuk rempah dan cili.Tumis hingga naik bau.Masukkan spaghetti yang telah ditoskan dan goreng sebentar dengan api yang perlahan sebelum ditambah serbuk roti.Akhir sekali masukkan bahan tambahan iaitu sosej dan sauteed tomato sebagai hiasan dan perasa tambahan)

! Serbuk roti boleh dibeli segera di kedai atau dibuat sendiri. Sekiranya ada roti perancis, sagat roti untuk mendapat serbuknya. Atau boleh juga dibakar apa-apa saja baki roti yang ada, roti putih atau roti gandum penuh dan dikisar halus sehingga menjadi serbuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan