Selasa, 6 Julai 2010

Fettucini Folloppi

Pertamanya hari ini teman nyaris-nyaris tak dapat nak 'sign in' kedalam blog teman yang tak sampai setahun jagung ni. Kononnya kegagalan memberi kata kunci/password yang tak sepadan dengan e-mail yang didaftarkan. 'Apa kehenyer....' Insyallah ingatan teman ni masih muda belia dan takkan semudah itu lupa pada benda-benda yang mudah macam tu. Rasanya belum lagi tahap perlu mengambil herba Gingko Biloba untuk menambah ingatan. Cukuplah air mineral yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran menjadi peneman. Sah-sah papan kekunci laptop teman ni masih elok berfungsi. Mulalah teman berfikir yang bukan-bukan tentang kegagalan yang melanda.Tapi alhamdulillah, perkara sekecil ini telah berjaya diatasi dan teman lega dapat mencoretkan cerita teman hari ini.
Hari ini seperti biasa,orang-orang 'simple' macam kami, jarang masak beria untuk mengisi perut. Pagi membawa ke tengahari cukup dengan dua keping roti gandum penuh yang dicicah sup cendawan dan oat. Memandangkan pukul 11.00 pagi baru sempat menjamah makanan, ajakan rakan sepejabat untuk minum pada pukul 6.30 petang terisi dengan roti nan ayam tandoori kedai mamak di selekoh jalan. Lama jugalah teman tak mengidam roti nan tandoori dek memikirkan kesan kalorinya. Setelah hampir selesai dengan menu hari ini, sempat teman berbual dengan 'big bos' yang 'langkah kiri' dan semakin mengecil dek regim diet yang sangat konsisten dan berdisiplin sejak akhir-akhir ini. Kagum teman dengar kesungguhan bos lelaki teman ini menjaga pemakanannya demi sebuah kehidupan dan yang pasti demi kesihatan. Bertambah kagum dengan cerita beliau yang mengikuti program khas dan menumpu terhadap pengambilan optima sayur-sayuran selain pengambilan protein dan karbohidrat yang sangat minima.Tapi hari ini teman tewas sekali lagi, ditambah dengan teh tarik pelengkap minum petang yang teman kira menjadi santapan akhir untuk hari ini. Rupa-rupanya teman serumah, Kak Gee yang berpuasa hari ini sejak awal-awal lagi dah merancang untuk mencuba resepi pasta terbaru ala-ala oriental. Harum sungguh bau pasta 'fettucini' yang dimasak dengan sos tiram bertambah lazat dengan potongan tomato, brocoli dan udang. Berselera betul rakan seorang lagi menghirup sup telur dan cendawan butang sebagai kuah pasta hari ini. Lucu jadinya apabila rakan teman yang seorang ni menyebut fettucini sebagai folloppi. Jadilah nama khas resepi Kak Gee hari ni dari teman;'Fettucini Folloppi'. Teman apa lagi, memang tak terlepas untuk 'join semeja'. Aduh....habis lagi pelan diet teman yang asyik tak menjadi. Walaubagaimanapun, orang memberi kita merasa..terima kasih daun keladi..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan