Sabtu, 17 Julai 2010

Sate Lilit Ikan Tongkol BBL

Teringat kembali kenangan lama teman bersama kawan-kawan yang asyik 'berjalan' kesana kesini, amalan sejak tahun akhir kami di universiti. Terasa cepat benar masa berlalu dan teman kini sudah pun 6 tahun bekerja. Masa yang panjang masih berjaya mengekalkan minat kami yang suka 'berjalan'.Teman bersyukur dikurniakan kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama dan kelapangan untuk turut serta bila ada antara kami yang merancang untuk melawat tempat orang.
Tuhan..teman ingin sekali melihat duniaMU yang luas ini. Kagum dengan kebesaranMU setiap kali dapat menjejakkan kaki kesuatu sudut dunia yang bukan baru, tapi baru ketemu.
2007,belajar memperbaiki diri dan mendisplinkan diri untuk bersolat walaupun agak sukar; sesukar kami bersolat diruang yang sempit berdekatan kuil-kuil Tanah Lot yang mana kami anggap darurat kerana mengejar waktu senja. Masih skeptikal dengan keadaan ruang sempit dan sejadah lusuh dan berdebu, tapi keranaMU kami akur. Agak pelik dengan kesediaan warga Bali terhadap pertembungan budaya dan agama yang cuba teman terima dengan minda terbuka. Jiwa muda ketika itu yang ingin bersuka-ria membawa kami kesana. Alhamdulillah kawan-kawan yang masih menjaga tatasusila 'gadis melayu bukan terakhir', kekal selamba dengan sogokan info-budaya Hindu dan pandangan ahli-ahli mereka tentang Islam.Tidak membantah dan tidak menerima kerana bagi kami ketika itu mendengar lebih baik dari mengulas. Fokus utama ialah 'berjalan'. Tambahan lagi ketika itu situasi masih panas dengan peristiwa pengeboman Bali yang dimaklumkan oleh Pak Supir angkara orang luar. Asyik dengan Tarian Barongan, kagum dengan hasil seni ukir dan lukis Ubud, nikmat makan malam pantai Kuta dan rindu dengan suasana nyaman Kintamani tempat kami menikmati hidangan istimewa ini; Sate Lilit Ikan. Istimewa kerana itu adalah pertama kali teman dan kawan-kawan melihat dan merasa Sate Lilit Ikan yang bagi teman sangat unik. Dek rindu itu juga, pagi-pagi lagi teman berniat mencari ikan di pasar basah untuk membuat sate sendiri pertama kalinya. Resepi sate ikan, teman merujuk kepada laman web dan ubah suai mengikut apa yang ada didapur. Menjadi juga rasa bumbu ikan dan harum serai yang menjadi pencucuk sate ini. Rasanya lebih kurang seperti Otak-Otak Ikan. Sate Lilit Ikan Tongkol BBL ala Bali-Bali bakal menjadi menu baru berasaskan ikan dalam koleksi teman. Gembira menikmatinya berdua dengan teman serumah sebagai snek malam dan menerima komen positif
.

Sate Lilit Ikan Tongkol BBL ala Bali-Bali

Bahan-bahan dan Cara-Cara :

2 ekor ikan tongkol ( dibersihkan dan diambil isi sahaja)
5 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
2 inci halia
Garam secukup rasa (kesemua bahan dikisar sampai halus menjadi bumbu ikan)
10 batang serai (dipotong sedikit panjang dan diracik sedikit hujungnya)
1 biji telur (diambil bahagian putih sahaja untuk celupan)
1 cawan serbuk emping jagung (pilihan salutan untuk merangupkan bumbu ikan)
Minyak untuk menggoreng (hari ini memilih minyak jagung)

(Bumbu ikan dikepal bulat dan dicucuk pada batang serai satu persatu.Proses mengemas bumbu pada serai dengan cara melilit. Celupkan sate didalam telur putih dan disalut dengan serbuk emping jagung. Berhati-hati agar bumbu tidak pecah dan goreng dalam minyak panas dengan api sederhana hingga kekuningan dan masak isinya)


!-Boleh juga menggunakan isi ikan kerisi atau sardin tin sekiranya tiada stok ikan segar.
!!- Serbuk emping jagung menjadi pilihan teman kerana baki dari stok sarapan masih banyak. Boleh juga sate disalut dengan serbuk roti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan