Khamis, 30 Disember 2010

Bawal Emas Harimau Malaya



Hari Jumaat, 31/12/2010 rasanya amat bermakna bagi semua rakyat Malaysia.Satu hari sebelum tahun baru 2011, masing-masing pasti gembira sakan apabila PM mengumumkan hari ini cuti umum sempena peristiwa kemenangan pasukan bola sepak Malaysia dalam Piala Suzuki malam Rabu tempohari. Bercerita tentang bola sepak,teman bukanlah orang yang fanatik dengan sukan ini,tetapi berkongsi kehangatan pasukan negara yang berjaya secara agregat 4-1 tidak dilupakan.Malam Rabu gamat dengan sorakan kami serumah apabila penjaga gol,Khairul Fahmi menyelamatkan sepakan penalti Indonesia ditambah dengan gol pertama yang tak disangka-sangka oleh Mohd Safee.Teman dan rakan-rakan serumah berkumpul di depan tv menyaksikan perlawanan sehingga ke akhirnya. Gembira dengan cuti percuma dari PM,awal-awal lagi teman bersiap untuk pulang ke kampung memandangkan cuti 3 hari 2 malam terlalu lama untuk keseorangan di rumah sewa teman.Hari Jumaat bertambah semangat kerana seawal pagi teman dan bonda tercinta keluar mengambil angin di Padang Sultan Abdul Aziz.Cuaca pagi yang nyaman, kami berdua berjalan mengelilingi padang mengeluarkan peluh.Setelah selesai beriadah dan bersarapan capati di restoran, mak teman mengajak ke pasar pagi untuk membeli barang dapur dan bekalan makanan tengahari nanti. Tiba-tiba selera bertumpu kepada ikan bawal emas yang teman niatkan untuk dikukus.Selain udang masak merah, sayur sawi dan ulam timun,tengahari itu kami menikmati Bawal Emas Kukus sempena meraikan cuti kemenangan Harimau Malaya.

Bawal Emas Kukus
1 ekor ikan bawal emas

1 sudu sos tiram

Secubit garam
Bawang merah

Bawang Putih

Hirisan Halia

Cendawan Shitake
Hirisan Lobak Merah


Cara-Cara

Ikan bawal yang telah dicuci,diperap bersama-sama sos tiram dan garam.Bawang dan halia dihiris halus bersama-sama cendawan dan lobak merah dan ditabur diatas ikan.Kukus ikan selama 20 minit.

Jumaat, 26 November 2010

Mini Me



Syahdu sungguh hari ini dengan hujan yang agak lebat di luar sana.Memang hampir setiap hari hujan turun di waktu petang dan agak lama juga teman tak mengemaskini blog kerana kekeringan idea atau lebih tepat lagi tak banyak cerita baru yang menarik dapat teman kongsi bersama.Hari ini bukan sahaja nyaman malah tiba-tiba 'mood' teman untuk ber'blog' kembali dan sambil membedek-bedek gambar-gambar lama yang diambil sepanjang tahun teman terjumpa gambar tart mini yang teman buat sempena rumah terbuka hari raya yang lalu. Nampak gayanya bolehlah teman melengkapkan blog teman hari ni dengan resepi tart yang agak mudah ini.Bila lagi teman nak mencuba resepi tart ni pun belum dapat dipastikan lagi.Harap-harapnya 'mood' kembali ke dapur dapat datang semula selepas menatap gambar-gambar lama.

Mini Me Tart

Bahan-bahan

250g tepung

125g mentega

65g gula castor

1 biji telur

1 cubit garam

Tepung dan gula dicampurkan dan digaulkan bersama mentega sehingga mendapat adunan yang berderai.Masukkan secubit garam.Letakkan telur ditengah-tengah adunan dan uli hingga terbentuk doh.Bakar doh yang diletakkan didalam acuan tart,bakar selama 15 minit.

KRIM PASTRI

Bahan-bahan

300ml susu

1 biji telur

65g gula castor

30g tepung

Esen vanilla

Susu dipanaskan. Gula dan telur dipukul hingga hamper putih.Masukkan tepung dan kacaugaulkan.Masukkan susu yang telah mendidih.Masak di atas api dan kacau hingga likat.Letakkan krim pastri kedalam tart yang telah dibakar dan hias dengan buah-buahan.


Ahad, 17 Oktober 2010

Memory Walk



'Activate your Sunday!Hari ini merupakan hari Ahad yang boleh dikategorikan aktif bagi teman dan rakan-rakan sekerja yang lain.Pada awalnya kami hanya menurut arahan bos untuk menyertai 'walkaton' anjuran kelab Rotarian yang disertai beliau.Mungkin agak liat menerima idea itu pada peringkat awalnya tetapi beransur-ansur menjadi 'excited' memandangkan ini merupakan kali pertama teman menyertai acara berjalan kaki beramai-ramai.Bangun seawal 5.30 pagi dengan T-shirt merah yang ditaja, penambah semangat teman pada pagi ini.
Kami berkumpul beramai-ramai di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan acara bermula pada jam 8.00 pagi selepas aktiviti memanaskan badan bersama-sama.Bersesuaian dengan pengalaman kali pertama,acara berjalan kaki ini hanya mengambil masa 45 minit dan sejauh 3km sahaja membuka minat teman dan rakan-rakan lain untuk melakukannya dimasa-masa akan datang.
Betullah kata orang, hari yang baik dan permulaan yang baik akan berakhir dengan baik juga.Teman tidak sangka nombor 028 yang diambil disaat-saat akhir memberi tuah kepada teman hari ini.Bukan nilai hadiah yang penting bagi teman kerana pengalaman itu lebih manis dirasa.

Selasa, 28 September 2010

Cincin Epal



Ahad lepas langsailah sudah majlis pertunangan sahabat teman yang dikasihi; Azwa dengan jejaka pilihan hatinya; En Jamal. Majlis yang meriah dengan kehadiran kaum keluarga pihak perempuan dan rakan taulan sangat menggembirakan hati teman. Bak kata seorang rakan, ibaratnya dalam hati ada taman;berbunga-bunga.Tahniah kepada sahabat teman kerana semuanya berjalan lancar.Semoga menghargai hubungan yang terbina dan berhati-hati sepanjang tempoh pertunangan. Almaklumlah pasangan berdarah manislah katakan. Petang itu jajan buat tetamu di penghujung majlis sempat teman abadikan sebagai kenangan.
Semanis cincin yang tersarung di jari ,begitu jugalah manisnya Cincin Epal santapan minum petang teman semalam.Cincin epal atau 'Apple ring' sama konsep dengan 'Onion ring' yang biasa dijual di restoran. Cuma rasanya yang manis bertambah enak dengan salutan tepung berperisa kulit kayu manis. Mak teman juga menggemarinya dan mencadangkan ditambah rempah-rempah lain. Mungkin akan teman cuba di kemudian hari. Bagi yang ingin lebih manis boleh lah dimakan bersama madu atau sos karamel. Sesekali menukar selera selain pisang,ubi dan sukun, buah-buahan lain juga enak digoreng.

Cincin Epal

Bahan-bahan dan Cara-caranya :

4 biji epal merah(dibuang kulit dan dibersihkan tengahnya.Hiris bulat)

Bancuhan tepung :
1/2 cawan tepung gandum
1 sudu teh serbuk penaik
1 sudu teh gula halus
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
Sedikit air suam untuk membancuh

Minyak jagung untuk menggoreng.

(Epal yang telah dipotong dibersihkan dan dikeringkan agar tidak terlalu lembap untuk digoreng. Campurkan kesemua bahan bancuhan tepung.Panaskan minyak hingga panas.Celup epal satu per satu dan goreng hingga kekuningan.)

! Pastikan minyak cukup panas untuk deep frying.Kata Chef dalam siri Surreal Gourment suhu minyak hendaklah mencapai 260 Celcius.


Ahad, 19 September 2010

Menu Raya Lagi


Semalam, sempat menziarahi rakan teman; Cikgu Atun sempena 'rumah baru' terbukanya. Pendek kata acara tiga dalam satu; rumah terbuka, doa selamat dan perjumpaan rakan-rakan lama sempena hari raya. Menu yang dihidangkan petang itu seperti soto, lemang, rendang, bihun goreng dan triffle menjadi pilihan tuan rumah. Terima kasih Atun kerana menjemput.
Tahun ini teman tak berkesempatan mengikut rakan-rakan berkonvoi kerana pada masa yang sama saudara terdekat merancang beraya dirumah. Pening jugalah memikirkan menu apa yang hendak disediakan. Akhirnya seperti tahun-tahun yang lalu menu rasmi teman untuk tetamu; Makaroni Bakar dan Mee Sup pilihan mak teman disediakan sebagai juadah raya. Alhamdulillah menu makaroni bakar memang mudah disediakan dan menepati selera tetamu yang datang.
Sebenarnya makaroni bakar mempunyai nostalgia yang tersendiri. Selain meminati siri "Rona Roni Makaroni" yang sememangnya menarik dan lucu, teman memang tak boleh lupa kenangan memasak makaroni bakar buat pertama kalinya semasa di tingkatan dua.Kenangan kelas ERT (Ekonomi Rumah Tangga) di sekolah semasa berusia 14 tahun itu sentiasa segar diingatan. Manakan teman boleh lupa, kegagalan menyediakan makaroni bakar yang sempurna hingga terasa malu untuk dihidangkan.Tambahan lagi rakan-rakan lain termasuk kumpulan pelajar lelaki berjaya menyediakan makaroni yang enak dan mudah dipotong, sedangkan makaroni bakar teman yang tak menjadi itu berderai dan tawar rasanya.Insiden 'dimalukan' oleh makaroni bakar membuat teman bertekad untuk membuat makaroni bakar yang sempurna selepas itu.Kegagalan pertama bukan bermakna gagal selama-lamanya :). Tips paling utama untuk menyediakan makaroni bakar selain tambahan keju, bancuhan telur yang betul juga sangat penting untuk melekatkan makaroni bakar. Bahan-bahan inti makaroni bakar terpulang kepada selera masing-masing. Ada yang suka diletakkan daging, sayur-sayuran dan ada yang memilih makaroni dan keju sahaja. Nampak gayanya makaroni bakar akan sentiasa menjadi menu utama untuk tetamu semua, insyallah.

Bahan-bahan dan Cara-Cara :

1 paket makaroni (rebus hingga kembang dengan sedikit minyak)
5 biji bawang merah
5 biji bawang putih (bawang dikisar)
3 sudu cili kisar
1 paket daging kisar
1 kiub ayam
1 paket sayur campur
6 biji telur ayam (dipukul)
1 paket keju (cheddar cheese)
Bawang goreng dandaun bawang sebagai hiasan
Sedikit minyak untuk menumis.

(Tumis bawang dan cili kisar sehingga naik bau.Kemudian masukkan daging kisar dan kiub ayam.Masuk makaroni yang telah direbus dan sayur campur.Biarkan sejuk sebentar.Oles sedikit minyak di loyang.Masukan makaroni kedalam loyang hingga mampat,tuangkan sedikit demi sedikit telur dan lapiskan dengan keju.Hiaskan dengan daun bawang dan bawang goreng. Bakar selama lebih kurang 20 minit )


Jumaat, 17 September 2010

Syukur Masih Disini

Ketika sedang sibuk di dapur menyediakan juadah untuk tetamu yang bakal datang petang nanti,ingatan tiba-tiba tertumpu pada berita tentang bencana alam yang berlaku di Pakistan yang melanda hampir sebulan kini.Seperti kata wartawan TV3 dalam MHI tempohari kesan bencana banjir besar di Pakistan itu seperti gabungan bencana-bencana yang lalu iaitu Tsunami di Acheh dan gempa bumi di Indonesia. Bayangkan berjuta-juta umat manusia terpaksa menghadapi Syawal dalam serba kekurangan. Pilu rasanya bila memikirkan dalam keseronokan kita disini beraya dan menjamu selera dengan agak 'mewah' ada saudara-saudara kita yang kebuluran dan sengsara.
Semoga Allah membuka ruang rezeki untuk mereka-mereka seperti mana Dia meramati kita dengan rezeki yang ada.Ameen


Selasa, 14 September 2010

Semperit Raya

Salam Aidilfitri. Syawal masih lagi hangat walaupun sudah lima hari berlalu. Teman tiba-tiba terasa rindu pada kampung yang baru beberapa jam ditinggalkan untuk menyambung agenda harian seperti biasa. Sebahagian saudara-mara sudah pun lebih awal pulang ke kota; yang tinggal hanya mereka yang bercuti lama sempena hari raya Aidilfitri.
Rumusan sambutan raya tahun ini dapat teman ringkaskan sebagai biasa-biasa sahaja.Suasana masih lagi ceria tapi agak sepi.Mungkin kerana ramai saudara terutamanya sepupu-sepupu teman yang tidak dapat beraya dikampung kerana tugasan dan giliran beraya yang harus dipenuhi. Mungkin juga tahun ini merupakan tahun kedua teman beraya tanpa kedua-dua orang Opah yang telah kembali ke Rahmatullah.Hanya doa dikirim tanda ingatan. Bagi yang masih ada, panggilan telefon serta kiriman salam dikejauhan mendekatkan kami semua.Kepada sepupu-sepupu dan saudara-mara sekalian, salam Syawal teman ucapkan dan semoga tahun depan kita berjumpa lagi. Begitu juga buat rakan-rakan semua.
Bercerita tentang hari raya pada usia teman ini pastinya tiada lagi sambutan berbunga api atau mercun yang memeriahkan malam raya. Atas sebab faktor keselamatan, kanak-kanak juga tidak dibenarkan lagi bermain bunga api.Walaubagaimanpun, malam-malam raya di kampung masih tetap gamat dengan dentuman mercun dari rumah-rumah lain yang saling berbalas 'tembakan' dan das meriam buluh. Paling kelakar apabila ditanya yang rancak bermain bukanlah anak-anaknya tetapi kaum bapa yang lebih rancak membakar mercun untuk keseronokan dan kemeriahan suasana. Bagi kaum ibu dan anak-anak gadis pula pasti tak senang duduk dan sibuk didapur hampir sepanjang hari. Apa tidaknya, kunjungan dari saudara-mara jauh dan dekat sememangnya tidak putus-putus yang pastinya tidak sah kalau tidak dijamu dengan juadah yang istimewa.Sebut saja lemang, ketupat dan rendang sememangnya sinonim dengan bulan raya. Teman paling tidak boleh menolak menu wajib ibu saudara teman;Andang iaitu Lontong. Kiranya juadah raya memang tidak lengkap tanpa Lontong Andang yang dimakan bersama Nasi Impit. Cerita tentang nasi impit hendak dijadikan cerita pada hari raya pertama tempohari ketiga-tiga rumah dikampung menyediakan menu Nasi Impit tapi dengan kuah colek yang berbeza. Rumah lembah dengan Nasi Impit Kuah Kari Ayam, rumah tengah iaitu rumah Wan Teh dengan Nasi Impit Kuah Kacang manakala rumah changkat yakni rumah Andang dengan Nasi Impit Kuah Lontong. Menu sama tapi tak serupa yang masih 'terhangat di pasaran' walaupun telah dijamah berkali-kali. Hari ini teman sempat beraya dirumah Acu dengan hidangan laksa yang pastinya membuka selera kami yang dah agak ketepuan dengan lemang dan rendang. Selain juadah berat pengisi perut sepanjang raya ini, bermacam-macam kuih yang dijamu. Ada yang moden dan yang tradisional pastinya tidak dilupakan. Sebut saja kuih 'London Almond', Tat Nenas,Cornflakes Madu dan Biskut Cip Cokelat pastinya tidak sah hari raya tanpa kuih-kuih ini. Kuih moden penyeri meja makan dihari raya. Bagi yang ingin mengekalkan tradisi, kuih seperti Semperit, Putu Kacang, Kuih Siput, Mazola dan Kuih Makmur sudah pasti tidak dilupakan. Teman sangat gembira bila mak teman sudi membantu membuat kuih semperit yang sememangnya mudah tetapi tanpa skil yang betul bentuk bunga yang kemas tidak akan terbentuk. Kuih semperit ini sangat teman gemar kerana rasanya yang halus lebih-lebih lagi dengan adunan tepung kastard dan tepung jagung yang betul. Resepinya juga sangat mudah. Kalau sukar membentuknya seperti bunga dengan acuan khas, semperit juga boleh dibuat bentuk-bentuk lain. Pendek kata lenguh juga teman menerap bunga semperit sempena hari raya tahun ini.

Bahan-bahan dan Cara-caranya :

3 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan tepung kastard
1/2 cawan tepung jagung (semua tepung diayak terlebih dahulu)
1 cawan gula (dikisar halus)
1 cawan marjerin 2 biji telur (diambil kuning sahaja)
1 sudu teh serbuk penaik.
1 sudu teh esen vanila.
Ceri sebagai hiasan.

(Gula dipukul bersama-sama marjerin hingga kembang.Masukkan telur kuning dan esen vanila lalu pukul perlahan-lahan.Masukkan tepung dan serbuk penaik.Uli perlahan-lahan sehingga terbentuk doh yang lembut. Ambil sedikit untuk diterap menggunakan acuan khas untuk kuih semperit.Hiasi kuih dengan ceri merah.Bakar dalam dulang yang dioles sedikit minyak untuk mengelakkan semperit dari melekat.Bakar dalam api yang sederhana lebih kurang 15-20 minit.)

! Tepung jagung yang berlebihan akan membuat adunan doh sedikit lembut dan berderai.Oleh itu tambah sedikit tepung kastard atau tepung gandum sekiranya doh terlalu lembut untuk dbentuk.

Isnin, 30 Ogos 2010

Udang Goreng Cornflakes BBL

Salam Ramadhan dan salam Merdeka!
Tanggal 31, bulan 8, 2010, genaplah 53 tahun Malaysia yang teman cintai menyambut Hari Kemerdekaan. Semoga dengan motto '1 Malaysia' kita semua lebih berbahagia apatah lagi hari bersejarah ini jatuh pada bulan yang mulia bagi umat Islam. Semoga Malaysia terus aman dan makmur.
Sepanjang Ramadhan kali ini, memang menu masakan berbuka amatlah ringkas almaklumlah mak teman memilih untuk membeli serba sedikit dari bazar Ramadhan dari memasak sendiri. Teman pun agak ketepuan nak mencuba bermacam-macam resepi yang berlegar-legar difikiran, tapi berakhir dengan menu yang sangat mudah dan cepat, apatah lagi nak mengikut selera yang berbeza-beza. Paling mudah seperti ikan masak lemak kuning, sup ayam, gulai asam dan udang goreng. Jadinya hari ini teman yang agak gian nak mengemaskini blog teman ini, ingin berkongsi resepi Udang Goreng Cornflakes yang sangat mudah dah cepat. Udang goreng ini sedap dimakan panas-panas apatah lagi dicicah dengan sos cili Peri-peri (keluaran Nandos) yang pedas. Silalah cuba!

Udang goreng Cornflakes BBL

Bahan-bahan dan Cara-caranya

Udang (mengikut keperluan dan dibersihkan)

Serbuk kunyit

1/2 cawan Tepung Gandum
Lada hitam (ditumbuk halus)

Garam (secukup rasa)
Air panas (setengah cawan)

Emping Jagung/Cornflakes (dikisar halus)

Minyak untuk menggoreng


(Udang yang telah dibersihkan, digaul sebati bersama serbuk kunyit. Adunan tepung ditambah garam, lada hitam yang telah ditumbuk dan dibancuh dengan air panas untuk merangupkan bancuhan tepung. Celup udang kedalam tepung dan salutkan dengan serbuk emping jagung.Goreng didalam minyak yang telah dipanaskan sehingga garing)


! Sekiranya berminat anda juga boleh mencelup udang kedalam putih telur atau mencampurkan sedikit tepung jagung kedalam bancuhan tepung untuk meranggupkan udang.

Isnin, 16 Ogos 2010

Salad Tauhu Segera


Salam.. sekali lagi teman rasa agak bersemangat nak berkongsi cerita di bulan Ramadhan yang mulia ini. Alhamdulillah dapat juga menolong mak teman di dapur pada hujung minggu lalu. Memang dah lama jugalah teman teringinkan menu berprotien tinggi untuk kurangkan pengambilan nasi. Tempohari memang banyak sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibeli adik teman dengan niat untuk memasak. Tetapi dek masa cuti yang singkat tak dapat adik teman nak melaksanakannya. Jadi mak teman mengambil keputusan menggunakan apa yang ada dalam peti ais tu untuk menu sampingan berbuka puasa.
Salad tauhu yang mak teman reka ini adalah alternatif kepada Tauhu Sumbat dan Jelatah yang biasa kami beli di bazar Ramadhan. Resepinya sangat mudah dan pastinya memang sedap dimakan. Jadi bagi kawan-kawan yang berdiet, bolehlah lebihkan tauhu dalam hidangan untuk kurangkan nasi.

Salad Tauhu Segera (untuk 4 orang)
Bahan-bahan dan cara-caranya

2 keping tauhu (digoreng dan dipotong nipis)
1 potong nenas
1 biji bawang besar
1 biji timun jepun
1 biji cili merah
4 biji tomato mini (@ 1 biji tomato besar)
Udang kering ( ditumbuk halus)
Sedikit garam dan gula.

(Nenas, bawang, cili, timun dan tomato dihiris dan semua bahan digaulkan sekali.Akhir sekali tabur dan gaul garam dan gula secukup rasa)

Rabu, 11 Ogos 2010

Apa-apa ajer..

Salam..alahai dah lama teman tak mengadap blog akibat 'perintah berkurung' oleh mak teman yang tercinta kerana keadaan kesihatan teman.Tapi dalam tak sihat, teman ade jugalah menjenguk dapur dan bereksperimen dengan bahan-bahan dalam peti ais di rumah mak teman ni.Hatta nak dijadikan cerita yang tak berapa nak menjadi ni, gambar yang teman ambil tempohari tak dapat nak dimuat turun sebab masalah memory card.Nampak gaya teman terpaksa bersabar sehingga memory card kamera yang baru dapat teman beli. Sepanjang bercuti rehat ni, adinda teman yang paling rajin ke dapur.Paling best dapat merasa Spaghetti Seafood yang sangat 'Hot' bukan saja sbb rasa cili dan lada hitamnya tapi rasanya jugak lain dari yang biasa teman makan, siap lengkap dengan isi kepah, udang, dan salad daun basil segar.Tak lupa Kek Pisang Coklat yang dijadikan menu penambah kalori dan minuman segar Pina CoCurrent;jus nenas yang dicampur yogurt blackcurrant rekaan teman.Macamana rupa dan resepinya?Kenalah tungguuuuu.....

Sabtu, 17 Julai 2010

Cucur Bawang Ikan Lalala BBL

Selamat pagi cikgu...! Wah terngiang-ngiang ucapan zaman sekolah yang mempunyai iramanya tersendiri :). Begitu juga perasaan bangga terhadap mak teman dan kawan-kawan yang berjaya menempatkan diri dalam bidang perguruan dengan penuh dedikasi. Walaupun ramai yang beranggapan bidang pendidikan sangat sesuai dengan diri teman ini, tapi percubaan mengajar tuisyen beberapa minggu terdahulu amatlah menguji kesabaran minda dan emosi. Syabas bagi mereka yang mampu menggalas tugas mulia ini dengan tekun dan sabar. Mungkin kerana teman mengajar adik-adik yang bersekolah menengah rendah , oleh itu kemampuan berinteraksi dan memahami masalah mereka sememangnya mencabar akibat faktor berbezaan umur dan karektor. Ada yang nakal tapi giat dan minat belajar, ada yang senyap tapi memberontak dalam diam dan ada jugalah yang terlalu skema sehingga tak terjawab teman dengan soalan-soalan yang ditanya. Memang meletihkan, nah! itu baru mencuba, belum lagi teman menghadapi situasi yang sama setiap hari atas dasar kerjaya. Jadi dengan itu teman wajib bersyukur, walaupun pelbagai dugaan terpaksa dihadapi dengan kerjaya teman sekarang, walaupun tidaklah mudah sangat dan tidak juga terlalu sukar tapi teman masih mampu untuk bekerja dan membantu. Kriteria yang perlu ada untuk kerja teman?Boleh berkomunikasi dan sabar. Cita-cita? Menjadi seorang yang berjaya dan bahagia. Semudah itu kerana itulah doa mak teman untuk teman apabila ditanya.
Zaman sekolah dahulu adalah masa yang paling panjang bagi teman untuk bersama keluarga. Bangun seawal pagi kerana mengikut mak yang akan menghantar teman ke sekolah dengan kereta Toyota LEnya. Berbasikal bersama kawan-kawan hanya di awal persekolahan. Mak teman yang teman anggap sebagai
'A Woman With Altitude', tahu apa yang diinginkan dalam hidup dan sangat tenang. Jarang sekali teman melihat mak menangis. Terlalu kuat dan teman mungkin tidak dapat menjadi sepertinya. Pagi tadi, sibuk menggoreng cucur bawang dengan bumbu ikan tongkol lebihan semalam. Teringat mak teman yang walau sesibuk mana sekalipun bekerja masih dapat menyediakan sarapan pagi untuk kami adik-beradik.Walaupun semudah nasi goreng, maggi goreng dan cucur bawang. Kalau dulu kami adik beradik selalu merungut, mengadap menu yang sama setiap minggu.Tapi disaat ini, mahu saja meminta mak teman menyediakan cucur bawang air tangannya itu. Cucur Bawang Ikan Lalala BBL, cucur bawang moden rekaan teman tanpa kucai dan ikan bilis. Suka pada pengubahsuaian mengikut apa yang ada didapur. Lainlah kalau tiada apa-apa, barulah teman mencarinya di pasaraya berhampiran. Ya, segalanya sangat mudah disini, sangat nyaman dan cukup. Betul juga kata bos teman, jangan dirunsingkan apa yang berlaku kerana yang penting kita kena berusaha; sebahagian yang baik tentang dirinya. Bagi teman yang terlalu banyak berfikir tentang kerja, semoga dengan doa itu, ditunjukkan mana yang terbaik untuk teman berada. Mudahkanlah Ya ALLAH segalanya.

Cucur Bawang Ikan Lalala BBL

Bahan-bahan dan Cara-caranya :

2 cawan tepung gandum (diayak)
2 sudu tepung jagung (pilihan untuk merangupkan)
1 sudu garam halus
1 biji telur ayam

2 ulas bawang merah
1 biji cili merah

1 biji cili hijau (bawang dan cili dipotong dadu)
Hirisan halus kobis ungu (pengganti kucai yang tiada)

Bumbu ikan (paling mudah ikan bilis yang ditumbuk)
2 cawan air (untuk membancuh adunan tepung)
Minyak jagung untuk menggoreng


(Kesemua bahan dicampur dan pastikan tidak terlalu cair untuk dibuat jemput-jemput.Goreng dalam minyak yang dipanaskan dengan api sederhana)



~Life Is Simple but WE Make it Difficult~

Sate Lilit Ikan Tongkol BBL

Teringat kembali kenangan lama teman bersama kawan-kawan yang asyik 'berjalan' kesana kesini, amalan sejak tahun akhir kami di universiti. Terasa cepat benar masa berlalu dan teman kini sudah pun 6 tahun bekerja. Masa yang panjang masih berjaya mengekalkan minat kami yang suka 'berjalan'.Teman bersyukur dikurniakan kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama dan kelapangan untuk turut serta bila ada antara kami yang merancang untuk melawat tempat orang.
Tuhan..teman ingin sekali melihat duniaMU yang luas ini. Kagum dengan kebesaranMU setiap kali dapat menjejakkan kaki kesuatu sudut dunia yang bukan baru, tapi baru ketemu.
2007,belajar memperbaiki diri dan mendisplinkan diri untuk bersolat walaupun agak sukar; sesukar kami bersolat diruang yang sempit berdekatan kuil-kuil Tanah Lot yang mana kami anggap darurat kerana mengejar waktu senja. Masih skeptikal dengan keadaan ruang sempit dan sejadah lusuh dan berdebu, tapi keranaMU kami akur. Agak pelik dengan kesediaan warga Bali terhadap pertembungan budaya dan agama yang cuba teman terima dengan minda terbuka. Jiwa muda ketika itu yang ingin bersuka-ria membawa kami kesana. Alhamdulillah kawan-kawan yang masih menjaga tatasusila 'gadis melayu bukan terakhir', kekal selamba dengan sogokan info-budaya Hindu dan pandangan ahli-ahli mereka tentang Islam.Tidak membantah dan tidak menerima kerana bagi kami ketika itu mendengar lebih baik dari mengulas. Fokus utama ialah 'berjalan'. Tambahan lagi ketika itu situasi masih panas dengan peristiwa pengeboman Bali yang dimaklumkan oleh Pak Supir angkara orang luar. Asyik dengan Tarian Barongan, kagum dengan hasil seni ukir dan lukis Ubud, nikmat makan malam pantai Kuta dan rindu dengan suasana nyaman Kintamani tempat kami menikmati hidangan istimewa ini; Sate Lilit Ikan. Istimewa kerana itu adalah pertama kali teman dan kawan-kawan melihat dan merasa Sate Lilit Ikan yang bagi teman sangat unik. Dek rindu itu juga, pagi-pagi lagi teman berniat mencari ikan di pasar basah untuk membuat sate sendiri pertama kalinya. Resepi sate ikan, teman merujuk kepada laman web dan ubah suai mengikut apa yang ada didapur. Menjadi juga rasa bumbu ikan dan harum serai yang menjadi pencucuk sate ini. Rasanya lebih kurang seperti Otak-Otak Ikan. Sate Lilit Ikan Tongkol BBL ala Bali-Bali bakal menjadi menu baru berasaskan ikan dalam koleksi teman. Gembira menikmatinya berdua dengan teman serumah sebagai snek malam dan menerima komen positif
.

Sate Lilit Ikan Tongkol BBL ala Bali-Bali

Bahan-bahan dan Cara-Cara :

2 ekor ikan tongkol ( dibersihkan dan diambil isi sahaja)
5 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
2 inci halia
Garam secukup rasa (kesemua bahan dikisar sampai halus menjadi bumbu ikan)
10 batang serai (dipotong sedikit panjang dan diracik sedikit hujungnya)
1 biji telur (diambil bahagian putih sahaja untuk celupan)
1 cawan serbuk emping jagung (pilihan salutan untuk merangupkan bumbu ikan)
Minyak untuk menggoreng (hari ini memilih minyak jagung)

(Bumbu ikan dikepal bulat dan dicucuk pada batang serai satu persatu.Proses mengemas bumbu pada serai dengan cara melilit. Celupkan sate didalam telur putih dan disalut dengan serbuk emping jagung. Berhati-hati agar bumbu tidak pecah dan goreng dalam minyak panas dengan api sederhana hingga kekuningan dan masak isinya)


!-Boleh juga menggunakan isi ikan kerisi atau sardin tin sekiranya tiada stok ikan segar.
!!- Serbuk emping jagung menjadi pilihan teman kerana baki dari stok sarapan masih banyak. Boleh juga sate disalut dengan serbuk roti.

Ahad, 11 Julai 2010

Nasi Lemak Kampung Baru Ampang BBL


Salam.Sudah banyak hari teman bercuti dari menulis blog sebab tak ada apa-apa cerita yang berbeza dari hari-hari biasa. Minggu lepas, teman mengambil keputusan untuk bercuti dari hari Jumaat hinggalah hari Isnin depan. Bila ditanya rakan sepejabat kenapa teman mengambil cuti panjang, sememangnya niat utama untuk berehat dan sudah hampir sebulan teman tak menjenguk keluarga di kampung. Sememangnya setiap kali bercuti panjang, setiap itulah juga usikan rakan-rakan sepejabat samada teman bertunang secara rahsia. Lucu bila teringatkan usikan rakan-rakan. Lainlah kalau artis yang ingin berahsia, takkanlah teman nak berahsia dengan mereka hal-hal seumpama ini. Kali ini sememangnya teman cuti panjang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan memenuhi jemputan kawan sekolah lama yang ingin mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan. Tak sangka teman, dalam sibuk-sibuk teman membantu sahabat baik teman untuk persiapan pertunangannya, rupa-rupanya dalam senyap-senyap yang seorang lagi dah mendahului. Memang 'engagement marathon' sungguh. Tahniah buat kawan-kawan yang sedang asyik masyuk dengan kehidupan baru sebagai tunangan orang. Terasa berbunga-bunga hati teman bila kawan-kawan lama teman ini sudah ' berdarah manis' :). Kalau ditanya orang bila pula teman nak mengikut jejak kawan-kawan, jawapannya teman sendiri tak tahu tapi teman yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Sepanjang percutian di kampung, apa yang boleh teman ringkaskan, hari-hari yang penuh dengan rehat, gelak ketawa dan makanan. Makan tengahari teman hari Sabtu tempohari di majlis pertunangan kawan teman; Nurul, lengkap dengan nasi berlaukkan kari telur, ayam masak merah, kerabu taugeh-pegaga dan masak lemak nangka muda. Itu belum cukup dengan telur asin, pulut kuning dan ikan kering yang harum baunya sebagai pelengkap hidangan majlis. Berbunga lagi hati bila menerima ole-ole berisi kek coklat, bun dan cupcake berhias fondant yang semuanya hasil buatan tangan ibu kepada kawan teman ini. How I wish this days will never end. Setiap kali berjumpa kawan-kawan lama, terasa 15 tahun lebih muda. It is definately the cheapest anti-aging medium. Gelak besar adik-adik teman mendengar kata-kata hikmat teman tu. Sememangnya ya, apatah lagi bila berjumpa 'geng budak basikal'; nama kumpulan yang diberi oleh sahabat baik teman kepada kami-kami ini; teman, Atun, Nurul, Rosni dan Azwa. Kawan, kalian adalah antara orang-orang yang paling konsisten dalam hidup teman. Once again, I wish this group will never end. Kalau nak teman gambarkan bagaimana kehadiran kalian dalam hidup teman ini, seumpama Nasi Lemak Kampung Baru Ampang BBL. Nama gelaran menu nasi lemak yang mak teman sediakan bila kami adik-beradik semua berkumpul. Nasi lemak mak teman ini mungkin tak semasyur nasi lemak Kampung Baru KL . Tapi nasi lemak ini tetap yang paling istimewa pada teman adik beradik kerana memang kena dengan selera kami. Selain santan dan daun pandan, nasi lemak mak teman ini ditambah hirisan nipis bawang, halia, kulit kayu manis dan pastinya rempah kegemaran teman iaitu bunga lawang. Teman belum pernah lagi jumpa di mana-mana tempat nasi lemak yang rasanya serupa dengan rasa nasi lemak mak teman ini. Nasi lemak yang tak sah tanpa ditemani Ayam Masak Merah Chu Za. Tambahan lagi adik bongsu teman yang dah pandai menjenguk dapur dan ringan tangan memegang sudip dan kuali. Walaupun sambal tumisnya belum mencapai tahap piawaian tapi kesungguhan melengkapkan hidangan pagi Sabtu kami dengan sambal tumis ikan bilisnya amat teman hargai. So this time, I guess I should keep it as 'Resepi Rahsia' dan kawan, kalian adalah umpama keluarga yang cukup serba serbinya.


~ Friend are family that we choose~

Selasa, 6 Julai 2010

Fettucini Folloppi

Pertamanya hari ini teman nyaris-nyaris tak dapat nak 'sign in' kedalam blog teman yang tak sampai setahun jagung ni. Kononnya kegagalan memberi kata kunci/password yang tak sepadan dengan e-mail yang didaftarkan. 'Apa kehenyer....' Insyallah ingatan teman ni masih muda belia dan takkan semudah itu lupa pada benda-benda yang mudah macam tu. Rasanya belum lagi tahap perlu mengambil herba Gingko Biloba untuk menambah ingatan. Cukuplah air mineral yang dibacakan ayat-ayat suci Al-Quran menjadi peneman. Sah-sah papan kekunci laptop teman ni masih elok berfungsi. Mulalah teman berfikir yang bukan-bukan tentang kegagalan yang melanda.Tapi alhamdulillah, perkara sekecil ini telah berjaya diatasi dan teman lega dapat mencoretkan cerita teman hari ini.
Hari ini seperti biasa,orang-orang 'simple' macam kami, jarang masak beria untuk mengisi perut. Pagi membawa ke tengahari cukup dengan dua keping roti gandum penuh yang dicicah sup cendawan dan oat. Memandangkan pukul 11.00 pagi baru sempat menjamah makanan, ajakan rakan sepejabat untuk minum pada pukul 6.30 petang terisi dengan roti nan ayam tandoori kedai mamak di selekoh jalan. Lama jugalah teman tak mengidam roti nan tandoori dek memikirkan kesan kalorinya. Setelah hampir selesai dengan menu hari ini, sempat teman berbual dengan 'big bos' yang 'langkah kiri' dan semakin mengecil dek regim diet yang sangat konsisten dan berdisiplin sejak akhir-akhir ini. Kagum teman dengar kesungguhan bos lelaki teman ini menjaga pemakanannya demi sebuah kehidupan dan yang pasti demi kesihatan. Bertambah kagum dengan cerita beliau yang mengikuti program khas dan menumpu terhadap pengambilan optima sayur-sayuran selain pengambilan protein dan karbohidrat yang sangat minima.Tapi hari ini teman tewas sekali lagi, ditambah dengan teh tarik pelengkap minum petang yang teman kira menjadi santapan akhir untuk hari ini. Rupa-rupanya teman serumah, Kak Gee yang berpuasa hari ini sejak awal-awal lagi dah merancang untuk mencuba resepi pasta terbaru ala-ala oriental. Harum sungguh bau pasta 'fettucini' yang dimasak dengan sos tiram bertambah lazat dengan potongan tomato, brocoli dan udang. Berselera betul rakan seorang lagi menghirup sup telur dan cendawan butang sebagai kuah pasta hari ini. Lucu jadinya apabila rakan teman yang seorang ni menyebut fettucini sebagai folloppi. Jadilah nama khas resepi Kak Gee hari ni dari teman;'Fettucini Folloppi'. Teman apa lagi, memang tak terlepas untuk 'join semeja'. Aduh....habis lagi pelan diet teman yang asyik tak menjadi. Walaubagaimanapun, orang memberi kita merasa..terima kasih daun keladi..

Sabtu, 3 Julai 2010

Pasta Goreng Sepetang


Yessss....Alhamdulillah, cuti hari Sabtu yang dinanti-nantikan telah tiba setelah 2 hari Sabtu berturut-turut diwajibkan bekerja kerana gantian. Hari ni pagi-pagi lagi suasana di depan tv agak meriah dengan rakan-rakan serumah yang jarang-jarang dapat berkumpul sekali walaupun duduk serumah dan bekerja sepejabat. Maklumlah kami masing-masing dari unit-unit yang berbeza dan mempunyai komitmen masing-masing. Teman pun akui yang teman lebih suka meluangkan masa bersendirian di kebanyakan masa. Tapi sesekali pasti akan meluangkan masa bersama-sama bagi merapatkan ukhwah. Maklumlah tugas teman sebagai orang 'Admin & HR' yang kadangkala tak terlepas dari menegur dan ditegur dan akhirnya boleh menimbulkan suasana kurang ramah di pejabat. Sedangkan teman pasti niat kita masing-masing pasti demi kebaikan bersama. Jadi teman tak naklah apa yang berlaku di pejabat dibawa-bawa sehingga ke rumah. Kebiasaannya suasana ini pasti berakhir dengan cara yang baik dan aman.
Hari ini juga, sepatutnya teman dan rakan-rakan serumah yang lain menghadiri kenduri walimatulurus kakak kepada rakan sepejabat. Terima kasih Mazlini atas jemputan dan maaf juga teman tidak dapat hadir. Insyallah, ada rezeki kenduri adik kembar kepada Pn Mazlina ini pasti akan teman hadiri sekiranya dijemput :)

Sambil duduk-duduk merehatkan diri, menonton tv yang pastinya siaran kegemaran 7o7-'Travel & Living', perut teman yang berkeroncong mula minta diisi. Tak sangka jugak aura lapar dikongsi bersama Kak Gee yang rupa-rupanya memasang niat memasak mee segera. Jadi tanpa membuang masa, teman yang tiba-tiba teringin menjenguk dapur yang sekali-sekala dilawati itu mula menawarkan diri memasak apa-apa yang ada. Pastinya yang agak mudah, agak cepat dan agak sedap dimakan. Jadi baki stok pasta yang ada menjadi menu makan petang kami hari ini. Niat asal teman nak mencuba resepi 'Spaghetti Aglio Olio e Peperoncino' yang pernah dicadangkan oleh Pn Radziah; pemilik gym yang sudah 2 minggu teman tak pergi. Antara jadi dan tidak, resepi asal yang sememangnya sangat ringkas telah teman tokok tambah sesedap rasa dengan bahan-bahan yang ada di dapur. Spaghetti dah bercampur Makaroni dan berwarna warni jadinya. Resepi ini sepatutnya menggunakan 3 bahan utama sahaja iaitu 'Aglio'/bawang putih,'Olio'/Minyak Zaitun dan 'Peperoncino'/Cili. Cumanya kali ini kurang berkrim dan kurang masam tomato seperti resepi 'Carbonara' dan 'Bolognese'. Sambil menikmati hidangan,kami sempat berbual untuk merungkai 'masalah dunia' yang sedia ada.


Pasta Aglio Olio Peperoncino BBL Style
Bahan-bahan dan cara-cara :

-150 g Spaghetti (1/2 peket direbus hingga lembut dengan 1 sudu minyak zaitun dan ditoskan)

-5 biji bawang putih (dicincang halus)

-1/2 biji bawang besar (didadu)

-1 biji cili benggala hijau/merah (dihiris kecil/didadu)

-4 keping cili kering (dihiris kecil)
-1 sudu setiap satu serbuk thyme,basil, oregano dan paprika
-2 sudu serbuk roti

-Minyak zaitun untuk menumis

-Potongan sosej cendawan rebus (tambahan)

-Sauteed tomato segar (tambahan)

(Panaskan sedikit minyak zaitun dan tumis bawang sehingga kekuningan, masukkan semua serbuk rempah dan cili.Tumis hingga naik bau.Masukkan spaghetti yang telah ditoskan dan goreng sebentar dengan api yang perlahan sebelum ditambah serbuk roti.Akhir sekali masukkan bahan tambahan iaitu sosej dan sauteed tomato sebagai hiasan dan perasa tambahan)

! Serbuk roti boleh dibeli segera di kedai atau dibuat sendiri. Sekiranya ada roti perancis, sagat roti untuk mendapat serbuknya. Atau boleh juga dibakar apa-apa saja baki roti yang ada, roti putih atau roti gandum penuh dan dikisar halus sehingga menjadi serbuk.

Selasa, 29 Jun 2010

Tembikai Beku

Sejak dua menjak ni,teman lebih suka mengadap laptop dari mengadap tv,walaupun banyak siri tv kegemaran teman terpaksa dilupakan seketika.Buat seketika teman berjinak-jinak dengan blog dan 'movies' dari cd dan dvd yang dibeli. Sambil-sambil melayari 'news feed FB' kawan dan kenalan teman yang mana rata-ratanya cerita tentang bola sempena 'World-Cup','home-based biz' dan tak kurang juga yang berkongsi menu santapan masing-masing. Dapat jugaklah teman update info mereka-mereka yang dah lama tak jumpa atau yang teman tak pernah jumpa lansung. Globalisasi memungkinkan semua ini.
Hari ni, teman terpaksa ambil cuti 'ad-hoc' dek serangan migrain dari semalam yang tak reda-reda.Memang dari minggu lepas lagi tanda-tanda sakit kepala dah bermula dan teman pun dah ambil 'MC' sehari pada minggu lepas.Tapi ubat yang diambil tak terusik sebab teman masih boleh bertahan tanpa ubat tu.Doktor tu tak pulak pesan supaya tidak mengambil susu,coklat dan kekacang seperti yang kawan teman nasihatkan. Walhal semua yang tak sepatutnya dimakan ni menjadi makanan snek biasa teman selalunya. Mungkin jugak faktor mengadap PC di ofis dari pagi sampai ke malam selama 2 minggu yang lepas lebih menyumbang kepada sakit kepala teman ni.Tapi alhamdulillah selepas hampir setengah hari tidur yang tenang dan ponstan sebiji sahaja, sakit kepala yang memeritkan sudah beransur hilang. Lansung teman terlupa seketika pesan kawan-kawan yang lebih suka mengambil minuman isotonik dari mengambil parasetamol.
Dek sakit kepala ni, selera makan hari ni memang hilang terus.Tak terasa lapar lansung.Tapi teman gagahkan juga turun ke dapur untuk mengisi perut. Risau pulak sakit kepala sembuh datang pulak sakit perut. Jadilah 'branch' teman hari ni 2 potong sandwish tuna pedas dan secawan teh hijau segera. Sambil duduk-duduk mengadap tv, sementara menunggu waktu Zuhur, teman sempat menghirup secawan Kopi Putih panas. Bawa sampai kepetang, tiba-tiba teringat dalam peti ais ada baki buah tembikai yang dah lama tersimpan. Hendak dibuang sayang pulak sebab masih elok dan tak masam.Tapi tembikai tu memang beku habis macam ais dan boleh jadi 'sorbet'.Teringat pulak resepi 'Watermelon Smoothies' Affiza yang dipos di dalam FBnya minggu lepas. Jadinya apa saja bahan yang ada dalam peti ais teman hari ni dikeluarkan untuk dipadankan dengan tembikai beku tu. Terima kasih Affiza, akhirnya dapat juga merasa kesegaran sampai ke kepala dengan resepi idea Affiza tu. Bezanya teman tambah jus lemon dan tidak menggunakan kiub ais sebab tembikai dah sememangnya beku macam ais :)

Tembikai 'Smoothies' Ala AffizaNis

Bahan-bahan dan Cara
- Isi buah tembikai yang dibekukan (dibuang biji)
- 250ml susu segar rendah lemak (1 kotak kecil)

- 1 sudu makan susu pekat manis

- Jus lemon (setengah biji)
(Kisar semua bahan-bahan sehingga 'smooth' dan siap diminum)


!Bak kata Affiza kalau ada yogurt boleh juga digunapakai.Tapi teman guna apa yang ada dalam peti ais teman tu dan rasanya lebih kurang sama.

~Seize every moment and hoping for a smooth life~

Isnin, 14 Jun 2010

Limau Mata Susu

Mungkin ada yang belum pernah dengar nama-nama khas bagi limau. Selain yang teman tahu ,banyak lagi jenis-jenis limau yang wujud dalam dunia ni selain limau bali, limau purut, limau nipis, limau mandarin dan limau kasturi. Pasti ada yang tertanya-tanya yang mana satu limau mata susu. Selama ni pun teman biasa panggil limau yang satu ni sebagai 'lemon', warna kuning ceria dan ranum rupanya. Rupa-rupanya nama melayu limau ni Limau Mata Susu. Harganya agak mahal berbanding limau-limau lain kalau di beli di pasaraya mungkin sebab susah nak dapat atau mungkin juga ada yang diimport. Tapi seingat-ingat teman, zaman kanak-kanak dulu pernah nampak pokok limau mata susu ni di belakang rumah Andang teman di kampung. A very refreshing memory. Dulu-dulu kalau di kampung kebanyakan jenis limau ni ada jer di merata-merata tempat. Tumbuhnya jangan cakaplah, lebat dan ranum di pokok. Seronok bila ingat-ingat perasaan teruja melihat buah-buah limau masak yang jatuh merata-rata tempat. Teman tak lupa juga kenangan ke rumah sewa adik teman semasa dia belajar di Melbourne suatu ketika dulu. Dibelakang rumahnya ada sepohon pokok limau mata susu yang rendang dan lebat berbuah. Sometimes it's true that 'the grass is greener on the other side'. Di tempat orang, segala-galanya kelihatan lebih segar, cantik dan menarik.
Cerita tentang limau mata susu atau 'lemon', sejak kebelakangan ni memang teman suka membeli sebab jusnya agak manis berbanding limau nipis dan baunya lebih harum. Kuantiti jusnya lebih banyak dan kurang tajam. Kalau buat salad memang lebih sedap diperah jus 'lemon' dan lebih berkhasiat dari mayonis atau 'salad dressing' lain. Jus 'lemon' juga boleh melambatkan sayur-sayuran dan buah-buahan dari bertukar warna dan meranggupkannya. Paling teman suka kalau dapat buat 'lemonade'. Memang menyegarkan. Kadang-kadang sayang nak dibuang lebihan potongan buah 'lemon' yang habis diperah jusnya, jadi teman akan tuangkan air panas, dibiarkan beberapa minit dan akhirnya dapatlah menikmati 'a naturel lemon sparkling water'. Penting dikurangkan gula atau lebih baik tanpa gula. Kalau terlebih rajin, teman akan gunakan jus 'lemon' yang dicampur putih telur untuk dijadikan pupur muka. 'Beauty regime' semulajadi dari dapur. Harga lebih murah dari 'readymade mask' yang dijual di farmasi. Kesannya juga lebih baik untuk mencerahkan kulit muka. Kalau lebih rajin lagi, jus lemon yang dicampur telur putih dan gula aising boleh bertukar menjadi 'Lemon Meringue' yang sedap macam Marshmallow. Memang banyaklah gunanya buah limau mata susu atau 'lemon' ni. Yang teman paling teringin nak belajar buat ialah 'Lemon Cheese Cake'. Resepi ni teman kenalah berguru dengan Cik Fauziah;'taukeh cheese kek Lot 16' :). Banyak yang teman belajar dengan limau mata susu yang pastinya menjadikan hidup teman lebih segar dan ceria.

'Brown Sugar Lemonade'/Jus Lemon Gula Perang-(taste like ice lemon tea)

Bahan-bahan dan cara-cara

2 biji buah limau mata susu/lemon
3 sudu gula perang
500 ml air panas
500 ml air sejuk
Kiub Ais (tambahan)
(Potong buah limau dan perah jusnya. Masukkan gula perang dan air panas. Biarkan beberapa ketika sebelum ditambah air sejuk.Tambah ais dan potongan buah limau)

!-Gula perang boleh diganti madu.Sekiranya tidak suka rasa yang masam boleh ditambah kuantiti gula.
!!-Untuk mendapatkan lebih jus,sebelum diperah,tekan dan golek-golekkan buah limau.

'Lemon Meringue Pie'

Bahan-Bahan dan Cara-cara

Inti Lemon:

1/2 cawan jus limau mata susu/lemon
1 1/2 cawan air

3 biji telur (diambil bahagian kuning)

1/4 cawan tepung jagung

1 cawan gula icing
1 sudu mentega
(Kesemua bahan kecuali mentega dicampur dan dimasak diatas api yang perlahan sehingga likat tapi jangan dibiarkan berketul. Akhir sekali masukkan mentega setelah adunan likat.)


Topping
:

3 biji telur (diambil bahagian putih)

5 sudu gula icing

(Telur puti dipukul hingga kembang sedikit sebelum dimasukkan gula. Sambung pukul adunan hingga kembang dan gebu)


Dasar Pastri:


2 cawan Biskut marie yang dihancurkan dan ditambah mentega untuk melekatkannya.

(Letakkan dasar pastri kedalam loyang dan tekan hingga mampat.Bakar selama lebih kurang 15 minit
. Setelah dasar pastri sejuk, tuang inti lemon dan tutup ratakan dengan topping meringue.Bakar sekali lagi selama 5-6 minit)


!Pastri sebagai dasar meringue boleh diganti dengan tepung pastri biasa.


~ If life gives you lemons, make a lemonade~

Sabtu, 12 Jun 2010

Kopi 'O' Kopi

As-Salam.
Lama juga teman tak mengemaskini blog teman ni (seminggu jugalah dari post yang terakhir). Just take a break, blend myself with nature and doing nothing. I'm 'lost' in an island. It feel so good and slightly a different experience from my normal day....Peace on rejuvenation :) (and peace to the WORLD too..)
Teman tak ikut sangat siri 'Lost' yang dulu-dulu biasa ditayangkan di kaca tv. Sebabnya 'Lost' memang confusing. Tapi kalaulah teman ni betul-betul 'lost' di mana-mana 'isolated island' pun, harap-harapnya kat pulau tu at least adalah pokok kopi. Teman boleh tak makan, but a cup of coffee a day is a must have..(put aside the calories count)
'Life is a cup of coffee..It is not the cup is important..'
..This is one of my favourite words of wisdom..Bukan hanya sebab teman memang suka minum kopi, tapi pengertian di sebalik kata-kata itu. Teman teringat satu cerita yang teman pernah baca yang ada kena mengena dengan kopi.
Cerita seorang pensyarah yang mengadakan perjumpaan semula dengan bekas pelajarnya. Pada hari perjumpaan tersebut, mereka semua rancak bercerita tentang pengalaman hidup dan pencapaian selepas tamat belajar tapi semakin lama bersembang, ceritanya bertukar kepada aduan tentang tekanan hidup dan kerja. Pensyarah berkenaan telah menyediakan seteko kopi sebagai minuman petang untuk pelajar-pelajarnya. Disedianya cawan-cawan pelbagai saiz, bentuk dan warna ( memang kreatif pensyarah ni...). Ada cawan kristal, porcelin, kaca dan plastik. Apabila pelajar-pelajarnya menikmati kopi dengan cawan pilihan masing-masing, pensyarah itu pun berkata,"Sekiranya kamu semua perasan, kesemua cawan-cawan yang menarik dan mahal telah digunakan, tertinggal yang biasa dan murah di belakang. Adalah normal kamu semua mahukan yang terbaik dalam hidup, dan itu adalah punca tekanan dan masalah tersebut....Kamu perlu tahu yang cawan itu tidak mengubah kualiti kopi di dalamnya. Apa yang kamu inginkan pada awalnya hanyalah kopi dan bukan cawan itu tetapi secara sedar kerana tarikan luaran, kamu memilih cawan yang terbaik dan mula membandingkan cawan kamu dengan yang lain.."
Pertimbangan pensyarah itu mengandaikan kehidupan ini seperti kopi manakala pekerjaan, wang dan kedudukan dalam masyarakat adalah cawan yang menjadi alat untuk menampung kehidupan. Apa jua jenis 'cawan' yang kita ada tidak akan mengubah makna dan kualiti hidup yang dimiliki. Adakalanya kerana terlalu asyik masyuk menumpukan pilihan pada cawan, kebanyakan kita gagal menikmati kopi itu. Mungkin orang yang paling gembira tidak memiliki segala yang terbaik didalam hidupnya, tetapi mereka menjadikan yang terbaik bagi setiap apa yang dimiliki.
Bagi teman pula sesuatu pendapat tiada betul atau salah. Bergantung kepada siapa yang menerima. We have the right to please ourself in our own way. Yang pastinya semasa 'lost in an island' tempohari, teman memang sangat gembira dan tidak lupa menikmati secawan 'cappucino' yang OK. Persembahan yang menarik dengan serbuk kopi yang ditabur di atas buih kopi. Cukup rasa kopinya, walaupun bukan yang asli sebab teman boleh rasa kopi bancuh asli atau dari paket. Cerita tentang kopi ni, rindu rasanya nak minum kopi' Che Nah'. Paling sedap dibancuh berserbuk dan pekat. Kopi 'O' pekat panas yang manis secukup rasa. Kurang gula lagi 'power'. Sangat nyaman jika ditambah kiub ais. Mak teman pun dah lama tak beli kopi 'Che Nah' ni. Balik kampung pun yang ada di dalam peti ais, stok serbuk Nescafe yang pastinya rasa berbeza. Arwah opah-opah teman memang suka minum kopi 'Che Nah'. Mungkin sebab orang-orang tua dah tiada, kami dah jarang menikmati kopi serbuk asli. Kenangan paling seronok, menunggu baki air kopi yang terakhir. Bahagian ini bagi teman, air kopi yang paling sedap kerana sedikit pekat. Sebelum dapat minum teman kena menunggu serbuk kopi mendap agar tak tersedak tertelan serbuk kopi.. (dah macam cerita Siti Muslihat minum teh berserbuk gayanya...). Ada juga petua orang tua, kalau terkena minyak panas, boleh juga ditempek dengan serbuk kopi supaya tempat yang melecur cepat reda. Kalau nak air kopi yang lebih beraroma, boleh diletakkan sedikit kulit kayu manis.
Suatu masa dulu nak 'stylo' sikit, lepak dengan kawan-kawan kat CoffeeBean, Starbucks (no more) atau sekurang-kurangnya Oldtown Kopitiam (Kopi Putih yang masyuk..) Entah kenapa suka sangat 'ice blended' yang sememangnya berkalori tinggi tu. Tapi sekarang ni, kuasa memilih lebih tinggi ditambah lagi kewujudan minuman kopi tempatan yang dah boleh setanding dengan jenama antarabangsa. Impian teman nak sokong produk tempatan lebih dari yang diimport. Harapnya impian berkekalan. Support local and halal product. Minum kopi dalam cawan plastik ke kaca ke teman tak kisah. Tapi sekali sekala dapat minum dalam cawan Noritake tak ada salahnya :)

Life is the coffee~Live simply~Love generously~Care deeply~Speak kindly.

Rabu, 2 Jun 2010

Ciss Itu Kek!

Subhanallah..Sudah masuk hari Rabu!!..Ni la bila kesnya bila buat kerja saat akhir, terasa sangat sekejap masa berlalu. Biasanya kalau rasa-rasa terlupa hari apa hari ini, cara nak mengingat senang saja, cuba INGAT baju apa yang dipakai hari-hari yang sudah, pasti akan teringat semuanya..Almaklumlah kesan-kesan penuaan makin terasa :).' Growing older is mandatory but growing up is optional'. Agaknya dah memang patut amalkan supplement gingko biloba untuk cergaskan ingatan. Tapi sebagai seorang muslim, amalan terbaik adalah dengan membaca Al-Quran dan semoga diberi ilmu dan ingatan terhadap ilmu yang diperolehi. Seksa kalau terhilang ingatan ni. Jenuh teman nak mengingat.

Teman masih INGAT temujanji di gym setiap minggu, cumanya tak dapat nak memenuhinya untuk 2 minggu kebelakangan ini. Well, I know that no excuses are good. Semua tu alasan kerana hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Sudah la gagal untuk konsisten ke gym, dapat pulak housemate yang pemurah dan rajin membuat kek untuk teman serumah. Mungkin sebab ada tempahan dari seseorang. Tapi biasanya Cik Gee pasti INGAT dengan teman serumah coz sharing is caring, so do sharing the calories :). Pagi-pagi lagi Cik Gee 'the future baker', mengadun kek kejunya yang lemak berkrim itu dan menghantar SMS berbunyi,'Ada cis kek kat bwh'..Tak INGAT terus food log sheet yang bakal diisi dan dihantar kepada trainer untuk semakan. Sure kantoi lagi. Penat memerah otak menyiapkan kerja, jadi tenaga banyak digunakan (konon la kan...) , jadi lapar yang tak disangka-sangka datang melanda tepat jam 12.15mlm sejurus selepas teman sampai dari pejabat. Walaupun teman cuba bertahan, habis jugak 2 potong kecil 'cis kek' itu teman 'kerjakan'.

Alhamdulillah....walaupun cis itu kek! Cis kerana cheese cake itu sangat sedap dengan rasa manis-manis buah blueberry yang sederhana hingga teman tak INGAT pantang-larang calories count. Blueberry Ciss Cake Cik Gee, boleh masuk kategori 'Resepi Rahsia'...Saya suka! Terima kasih Kak Gee, ada masa buatlah lagi..

Sekali rasa, pasti nak lagi.

Selasa, 1 Jun 2010

Life for Food or Food for Life

Life for food of food for life; hidup untuk makan atau makan untuk hidup. Hari ni juga sama seperti hari-hari biasa yang teman lalui. Tapi mungkin tidak bagi keluarga-keluarga tahanan Israel di atas kapal Mavi Marmara yang pada saat dan ketika ini mungkin tak lalu nak makan mengenangkan nasib ahli keluarga yang entah selamat entah tidak. Pilu juga mendengar berita tentang musibah ini. Sehari ini, setiap kali minum dan menyuap makanan ke mulut, teman terpikir entah makan entah tidak saudara-saudara Islam kita yang ditahan rejim itu. Doa teman segalanya diselamatkan dan dilindungi ALLAH dan insiden ini pastinya memberi tanda yang besar bagi kita yang tinggal ini.

Bagi teman yang sejak kebelakangan ini tak lalu nak makan sebab memikirkan kerja yang bertimbun dan harus menjaga kesihatan, jadi makan pun yang ala-ala kadar saja (ye ke???). Sampai ada juga sahabat yang berkata sampai dah tak tahu nak makan apa. Itulah rezeki yang melimpah ALLAH beri sampai tak tahu nak makan apa. Teringat suatu ketika dulu teman ada membaca satu cerita tentang makan. Jalan ceritanya lebih kurang begini ;

'Ada sebuah keluaga yang daif, anaknya dengan merintih bertanya kepada bapanya;"Bapa, hari ni kita nak makan apa ya bapa?" dan...

Ada sebuah lagi keluarga sederhana, anaknya dengan beria-ria bertanya kepada bapanya;"Bapa, hari ini kita nak makan di mana ya bapa?" manakala...

Ada sebuah keluarga yang terlampau berada, anaknya dengan selamba bertanya kepada bapanya;"Bapa,hari ini kita nak makan siapa ya bapa?"...Alkisahnya..Wallahualam

Teman nak tergelak jugalah baca cerita-cerita lucu macam ni.Tapi kelucuan yang tersurat pasti ada maksud tersirat di sebaliknya. Bersyukurlah selagi kita masih mampu untuk menjamah makanan.Sedikit yang ingin dikongsi semoga semuanya diberkatiNYA.

1.Do’a Sebelum Makan

‘Bismillahirrahmaaniraahiimi’
‘Allahumma baarik lanaa fiimaa razaqtana wa qinaa ‘adzaa-bannaari’

Ertinya : Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah berkahilah kami dalam rezeki yang telah Engkau limpahkan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa neraka.

2. Do’a Sekiranya terlupa pada permulaan makan

‘Bismillahi fii awwalihi waahiri’

Ertinya : Dengan nama Allah di awalnya dan di akhirnya.

3. Do’a Selepas Makan

‘Alhamdulillahilladzii ath’amanaa wa saqaanaa wa ja’alanaa muslimiina’

Ertinya : Segala puji bagi Allah Yang telah memberi kami makan dan minum, serta menjadikan kami muslim.


Isnin, 31 Mei 2010

Isnin Yang Rock!

Isnin Selamat..'Don't judge book by it's cover, or at least don't judge a story by it's title'..Hmmm..ada satu lagi perumpamaan dalam Bahasa Inggeris yang biasa teman guna pakai; 'Don't judge a person until you walk a mile in her shoes'..Sesuai agaknyer,memang sinonim dengan kebanyakan wanita, walaupun mungkin bukan semua. Satu kasut bagi wanita will never do. Pasti tak cukup dengan 1 pasti ada macam-macam warna, macam-macam jenis, macam-macam gaya dan tinggi rendahnya. And that is some part that make us interesting I guessed. Cukup cerita pasal kasut sebab itu bukan tujuan cerita teman hari ni. Lagipun takkan habis cerita kalau sebut pasal kasut, begitu jugalah kalau cerita pasal hidup dan makan ni :).. Macam-macam ada....

Pagi ni,alhamdulillah selamat sampai ke tempat kerja teman tepat jam 9.00 pagi setelah 2 jam menumpukan perhatian kepada pemanduan berhemah. Tak sangka jugak dapat sampai tepat pada waktunya kerana hari ni teman bertolak dari kampung agak lewat dari kebiasaan. Pukul 7.00 pagi baru bergerak dari rumah di Ipoh. Seperti biasa, secawan 'light nescafe' telah tersedia oleh mak teman sebagai lapik perut. Teman bagi nama 'light nescafe' sebab mak teman kalau membancuh nescafe, pasti lebih kandungan susu tepung berbanding kopi. Kalau teman yang membancuhnya, pasti akan bertukar menjadi 'strong nescafe'. Tapi teman suka jugak, sebab mak teman yang buatkan. Tersedia di atas meja siap berbungkus di dalam beg plastik, bekalan 2 buku roti manis yang bakal teman jamah sambil memandu. Sambil-sambil ni pun bukan elok sangat, kalau tak betul gayanya boleh jadi merbahaya di jalan raya. Tapi bagi teman, mengunyah sambil memandu boleh menghilangkan rasa mengantuk. Lebih-lebih lagi teman akan memandu tanpa henti dari Ipoh ke Sg Buloh. Bekalan gula-gula atau 'chewing gum' dan paling tidak roti manis harus ada. Pendek kata,'Don't eat and drink and drive' unless practice make perfect.

Rezeki hari Isnin memang murah selalunya. Teman tak kisah sangat tentang sarapan hari Isnin kerana pasti ada rakan-rakan sepejabat yang bermurah hati membawa makanan dari rumah masing-masing. Semoga ALLAH menambahkan rezeki mereka-mereka ini. Ada juga sahabat yang berpesan, walaupun dalam kesempitan wang, amalan bersedekah makanan boleh memurahkan rezeki seseorang. Ya,tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima,InsyaALLAH...

Kenapa hari ni, Isnin yang rock!?. Rock sebab banyak sangat sarapan yang tersedia di atas meja pantri di ofis.Rock sebab pagi-pagi lagi masing-masing kecoh nak bagi teman rasa itu dan ini..hehe..Terima kasih kengkawan. Bukan tak sudi tapi teman agak kenyang di awal pagi tadi sebab asyik menyulam air sambil memandu.

Setelah tazkirah pagi, semak e-mail dan jadual harian, perut mulalah buat lagu rock..ke berkeroncong? Lebih kurang samalah tu. Ambil lebih kurang 15 minit di pantri membancuh secawan lagi kopi kegemaran teman. Terima kasih kepada Sarina dan Aina*, 'bidadari' yang selalu bermurah hati membawa makanan pada hari Isnin. Hari ni juadahnya lebih meriah dari biasa. Ada pulut kuning dan rendang ayam (My recommendation), ada nasi impit, tapai ubi yang harum, ada jugak macaroni dan sos carbonara berlada hitam. Wah!, menu sama macam yang teman makan waktu cuti hari tu..Walaupun lain air tangan, tapi rasanya tetap sedap dan menyelerakan..Teman teringin nak mencuba tapai ubi yang sangat harum baunya tu, tapi pengalaman memakan tapai sehingga demam dan tak lalu bangun suatu masa dahulu, membatalkan niat teman yang suci dan murni itu. 'Bise berbeno' penangan tapai ni.

Banyak pilihan makanan untuk sarapan merangkap makan tengahari teman hari ini. Sos Carbonaranya mewah dengan rasa lada hitam dan cendawan butang yang empuk, seempuk rendang ayam yang cukup rampainya. Tentang pulutnya pulak, cukup kuning kunyit dan lemak santannya. Biasanya pulut kuning ni disediakan untuk acara yang agak istimewa. Sebagai tanda kesyukuran dan tanda kegembiraan. Bila di tanya, rupa-rupanya minggu ni adalah minggu terakhir Aina dan Sarina sebagai pelajar praktikal di tempat kerja teman ni. Sekejap sungguh masa 6 bulan berlalu. Masing-masing bakal menamatkan pengajian dalam jurusan Akaun UUM dan menyambung cita-cita. Selamat maju jaya teman ucapkan. Selain manis dan santun kalian berdua, aroma pulut kuning dan rendang ayam tetap dalam ingatan..

Kepada adik-adik praktikal..Yang merah itu saga,yang kurik itu kundi,Yang indah itu bahasa yang baik itu budi...
Budi yang baik dikenang jua.....

Ahad, 30 Mei 2010

Food Coma No 3 - Lets Rumble D' Apple

Hari ni masuk 3 hari teman duduk melepak di rumah. Kerjanya banyak di dapur selain mengadap tv dan laptop. Memang relaks sakan kata orang. Pejam celik pejam celik esok dah Isnin. Esok pagi-pagi dah kena drive balik ke Sg Buloh. Bercintanya nak balik bekerja. Aduhhh..kalau boleh memang tak nak amalkan blues hari Isnin ni . Cuba untuk ingat pesan mak teman, selagi ada tenaga, hidup mesti bekerja. Mulakan hari pertama kerja dengan semangat dan keseronokan kerana satu minggu masih panjang. Betul jugak tu. Yelah, kalau hari pertama kerja, muka dah blues, monyok dan tak gembira macamana nak meneruskan 5 hingga 6 hari selebihnya. Tapi, sebagai insan biasa yang mudah terpengaruh dengan emosi (almaklumlah teman ni dirahmati dengan 9 emosi la katakan..), kadang-kadang blues hari Isnin pasti terasa. So cara paling mudah teman nak kurangkan emosi kurang enak tu, sebagai seorang wanita berkerjaya, penampilan diri sedikit sebanyak harus dijaga. Sentiasa mengharapkan dalam melaksanakan niat yang satu ini tidak menyimpang dari tertib yang sepatutnya. Mudahnya, pakaian yang dipakai mestilah berwarna ceria kerana warna boleh mempengaruhi emosi seseorang. Satu lagi cara yang teman biasa buat, sehari sebelum Isnin, yakni hari Ahad perlulah diceriakan juga. Samada keluar bersama-sama keluarga atau kawan-kawan, tidur dengan senyuman :), teman juga suka mencuba resepi-resepi yang ada. So hari Ahad kena rajin-rajin diri ke dapurlah jawabnya...

Just do something that can indulge yourself and make yourself happy, tak perlu yang gempak sangat pun. Memandangkan hari ini seorang lagi ibu saudara teman;Mak Itam datang ke rumah, semangat nak memasak tu luarbiasa sikit. Bahan-bahan pun dah sememangnya ada. So sepetang di dapur hari ni berakhir dengan 2 menu favourite teman yang agak senang nak dibuat; Spaghetti Bolognese dan Apple Raisin Bread Pudding.

Alkisahnya Puding Roti Epal Kismis ni antara desert yang paling teman suka sebab mudah dibuat dan bahan-bahannya pun memang sentiasa ada didapur rumah teman ni. I just love the smell of cinnamon..Boleh high teman kata...hehe...Pasti harum satu dapur bila guna herba yang satu ni. Sejak nak jaga kesihatan ni pulak, teman memang akan pastikan stok epal hijau dan kismis sentiasa ada. Mana tau tetiba teringin nak mengunyah, kunyah epal dan kismis kira OK lagi kan... So lets rumble d' apple...(P/S-Spaghetti Bolognese punya resepi teman akan kongsi dalam post akan datang )

Bahan-bahan dan Cara :

Isi Puding :


4 biji epal (dibuang kulit dan dipotong dadu)

1/2 buku roti putih ( dipotong dadu, tapi sebab hari ni tiada baki roti, banyak stok biskut jagung, so I end up using biskut jagung kosong)
1 cawan kismis 2 sudu mentega
(Panaskan periuk, cairkan mentega dan masukkan epal. Masak epal separuh lembut. Selepas tutup api,masukkan roti dan kismis.Gaulkan kesemua bahan-bahan ini)

Sos puding :


3 biji telur

1 sudu teh esen vanila
3 cawan susu segar
1 1/2 cawan gula perang
1/3 cawan serbuk kulit kayu manis /cinnamon
(Campur kesemua bahan-bahan ini dan pukul sebati)

Didalam mangkuk tahan panas, campurkan isi dan sos puding dan kaup balikkan. Bakar selama 20 minit. Boleh dimakan bersama-sama whipping cream@yogurt@sos coklat@ ais krim..

!-Bagi yang tak suka makan kismis,boleh juga gantikan dengan buah-buahan kering yang lain tapi namanya kenalah diubah :)

!!-Boleh digandakan sos puding sekiranya inginkan puding yang lembab dan berkuah.

!!!-Sos puding juga boleh dicampurkan tepung kastard dan sedikit tepung jagung dan masak diatas api yang perlahan sehingga pekat untuk dimakan bersama-sama puding roti ini.

~This is an option to indulge yourself or else get an apple a day will keep the doctor away~